Yadim mahu penganjur Miss Plus World Malaysia tepati janji
PUTRAJAYA - Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) berharap penganjur Miss Plus World Malaysia komited dan menepati janji yang dipersetujui bersama dalam pertandingan yang akan diadakan pada malam ini.
Yang Dipertua Yadim, Nasrudin Hassan berkata, pihaknya mengambil pendirian dan keputusan bersama, tetap membantah sekiranya program itu masih menyerupai ala pertandingan ratu cantik wanita.
"Maka, besar harapan Yadim yang juga mewakili ratusan pertubuhan bukan kerajaan Islam menerusi Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) dan umat Islam di Malaysia agar pihak penganjur komited dan menepati janji seperti yang dipersetujui bersama," katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.
Pada 31 Disember lalu, Yadim mengadakan pertemuan dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) bersama dengan penganjur bagi membincangkan perkara tersebut.
Berdasarkan kepada pertemuan tersebut, Pengarah Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti Jakim, Dr Lokman Ab Rahman telah membuat beberapa keputusan dan komitmen bersama penganjurnya iaitu Malaysia Plus World Icon.
Antara ketetapan yang dibuat ialah penganjur tidak akan melibatkan peserta Muslim (menggugurkan penyertaan) dalam acara pada malam ini.
Selain itu, tiada peserta wanita beragama Islam yang akan menjadi pemenang dan menjadi wakil ke Peringkat Antarabangsa di Miss Plus World Amerika Syarikat.
Peserta beragama Islam hanya akan menjadi pemerhati dan duduk di meja kenamaan.
Turut ditetapkan, Jakim hanya bersetuju untuk bekerjasama dengan penganjur bagi program yang berbentuk meninggikan martabat wanita Muslim sesuai tuntutan ajaran Islam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!