UMNO hanya akan bersama Pas pada PRU15
PASIR SALAK - UMNO hanya akan bersama dengan Pas sebagai satu gabungan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, parti itu berpegang teguh kepada janji untuk bersama Pas menerusi Muafakat Nasional (MN) yang ditubuhkan.
Malah, katanya, UMNO juga akan memastikan kerusi yang ditandingi mereka pada PRU15 tidak bertembung dengan Pas.
"Kita telah membentuk MN pada tahun 2019 di mana kita sudah bersetuju bahawa pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang kita tidak akan bertembung (dengan Pas). UMNO akan tetap setia dengan Pas, setia dengan perjanjian kerjasama menerusi piagam yang telah kita tandatangani itu.
"Saya berharap kepimpinan dan ahli Pas bersama-sama berpegang kepada ikrar dan janji kita supaya senang kita nak buat kerja menghadapi PRU," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Pasir Salak di Dewan Besar Pekan Rabu Chenderong Balai di sini pada Sabtu.
Tajuddin berkata, kerjasama UMNO dan Pas pada PRU15 akan memberikan kemenangan yang besar kepada kedua-dua parti itu berdasarkan kajian dibuat sebelum ini.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak turut menegaskan bahawa parti itu tidak akan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada PRU15.
Menurutnya, sebahagian besar akar umbi menolak kerjasama UMNO dengan parti yang dipimpin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu.
"Kaji selidik kita mendapati lebih 140 ketua bahagian telah buat pendirian iaitu tidak bersetuju bersama dengan Bersatu pada PRU15. Ini hitam putih. Pendirian telah dibuat oleh ketua-ketua bahagian. Ada yang belum bagi (pendirian) itu, mungkin ada sebab-sebab tertentu.
"Boleh dikatakan itu pun sudah melebihi dua pertiga daripada bilangan bahagian di dalam UMNO. Jadi itu pendirian kita," katanya.
Ditanya mengenai kerusi UMNO yang kini disandang oleh wakil rakyat Bersatu, Tajuddin berkata, parti itu akan mempertahankan semua kerusi yang dimenangi pada PRU14.
Katanya, kerusi itu merupakan milik UMNO kerana sudah lama mereka menjaga kawasan tersebut.
"Kita akan pertahankan hingga ke titisan darah terakhir. Itu hak UMNO, tiada siapa boleh mempertikaikan. Dulu menang pun UMNO yang mendokongnya.
"Kerusi-kerusi UMNO yang lompat itu kita nak ambil balik semua, kenapa nak bagi dekat mereka? Siapa nak bertanding situ, lawan sama kitalah. Itu kerusi UMNO," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!