Landskap politik dinamik tak lemahkan UMNO
SHAH ALAM - Landskap politik dinamik sejak kebelakangan ini bukan alasan yang boleh melemahkan semangat ahli-ahli UMNO.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid sebaliknya berkata, parti itu perlu memelihara kesepakatan yang sedia terjalin dan roh perjuangan parti demi agama, bangsa dan tanah air.
"Suka saya berpesan kepada seluruh hadirin yang hadir agar memelihara kesepakatan yang sedia terjalin dalam kalangan ahli UMNO dan sentiasa memelihara roh perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air.
"Landskap politik yang dinamik sejak kebelakangan ini tidak boleh dijadikan alasan untuk melemahkan semangat kita," katanya.
Ahli Parlimen Padang Terap itu berkata demikian menerusi Facebook selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Padang Terap di Kedah pada Sabtu.
Mahdzir berkata, mesyuarat perwakilan UMNO pada tahun ini diadakan dalam keadaan norma baharu memandangkan wabak Covid-19 masih menular dan belum ada tanda-tanda reda.
Bagaimanapun, katanya, sebagai antara pemimpin bertanggungjawab memantau Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri di 191 bahagian, beliau tersentuh dengan kehadiran perwakilan UMNO.
"Sekali lagi kehadiran ahli-ahli UMNO akar umbi ke persidangan kali ini sangat menyentuh hati saya, apatah lagi dengan kedinamikan politik tanah air serta misi memerangi Covid-19 yang masih belum berakhir," katanya.
Sebelum ini, Majlis Tertinggi UMNO memutuskan Mesyuarat Bahagian UMNO ditangguhkan berikutan penularan Covid-19, diadakan secara serentak dengan dirasmikan oleh Ketua UMNO Bahagian masing-masing pada 1 hingga 3 Januari ini.
Begitu juga dengan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra pada 30 Januari dan Perhimpunan Agung UMNO pada 31 Januari ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!