10 peristiwa utama tahun 2020

A
A
A

SEPANJANG tahun 2020 terdapat 10 peristiwa antarabangsa yang telah mencipta sejarah dan mempengaruhi hubungan antarabangsa. Perlu ditegaskan hujahan berikut tidak disusun berdasarkan keutamaan.

Pertama, tercetusnya Pandemik Covid-19 pada awalnya apabila China memaklumkan kemunculan virus itu pada Disember 2019. Hampir setahun kemudian, Covid-19 telah mengubah kehidupan seperti yang kita ketahui.

Pada Oktober 2020 Pertubuhan Kesihatan Sedunia menganggarkan bahawa sebanyak 10 peratus populasi dunia telah dijangkiti Covid-19.

Kedua, ketegangan dalam hubungan Iran dan Amerika Syarikat (AS). Pada 3 Januari, pemimpin tentera Iran yang mengetuai Pasukan Pengawal Revolusi Islam Quds, Qasem Soleimani telah dibunuh akibat serangan dron AS sejurus beliau tiba di Baghdad.

Iran membalas dengan melancarkan serangan roket ke pengkalan AS di Iraq selama dua bulan.

Seterusnya pada akhir November saintis nuklear Iran telah dibunuh dan dipercayai pihak yang bertanggungjawab atas pembunuhan tersebut adalah Israel.

Ketiga, China telah menunjukkan ketegasannya dalam isu-isu antarabangsa. Pada April, sekutu AS, Australia telah cuba mempolitikan isu pandemik Covid-19 dengan menyalahkan China bertanggungjawab atas penularan virus itu telah mengakibatkan China untuk membalas dengan melancarkan perang perdagangan ke atas Australia.

Hubungan AS-China semakin merosot sehingga dunia sedang menyaksikan kemunculan ‘Perang Dingin Baru’ antara China dan AS.

Artikel Berkaitan:

Keempat, kejatuhan harga minyak yang amat serius akibat pandemik Covid-19. Ini disebabkan oleh kekurangan permintaan terhadap minyak kerana kebanyakan aktiviti ekonomi terpaksa dihentikan.

Kelima, sepanjang 2020 dunia menyaksikan gangguan iklim seperti kebakaran hutan yang dahsyat, ribut yang lebih besar dan lebih kerap dan kekeringan yang serius.

Tahun 2020 bermula dengan Australia mengalami musim kebakaran terburuk yang tercatat, dengan sekitar enam peratus negara terbakar dan hampir tiga juta haiwan terbunuh.

Keenam, penandatanganan Perjanjian AS-Taliban pada Februari 2020. Rundingan damai intra-Afghanistan merupakan sebahagian daripada proses yang telah bermula sejak Februari ketika AS dan Taliban telah membuat perjanjian mengundurkan tenteranya dari Afghanistan.

Perjanjian AS-Taliban akan menyumbang kepada Afghanistan tanpa pengaruh AS dan ada kemungkinan ia akan memberi peluang kepada negara jiran seperti China dan Iran menjadi lebih aktif dalam politik Afghanistan.

Ketujuh, pada Januari 2020, United Kingdom secara rasminya keluar daripada menjadi anggota Kesatuan Eropah. Namun, United Kingdom terus terlibat dalam aktiviti Kesatuan Eropah sehingga persetujuan dapat dicapai sebelum 31 Disember 2020.

Akhirnya persetujuan telah tercapai pada 24 Disember dan menjelang 1 Januari 2021, United Kingdom tidak lagi terlibat dalam Kesatuan Eropah.

Kelapan, pada Julai 2020 Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan memerintahkan agar Hagia Sophia dikembalikan menjadi sebuah masjid walaupun berhadapan bantahan pemimpin Kristian seperti Pope Francis.

Tindakan ini telah membalikkan keputusan tahun 1934 yang menjadikannya Hagia Sophia sebuah muzium.Langkah ini juga menandakan kebangkitan politik Islam di Turki pada masa akan datang.

Kesembilan, pembunuhan George Floyd di AS yang telah mencetuskan gerakan Black Lives Matter (BLM) bagi menuntut keadilan bagi penduduk Afrika Amerika yang terpaksa berhadap dengan masalah rasis.

Protes besar-besaran telah diadakan di bandar-bandar utama AS. Malah protes telah membatasi sempadan AS.

Ke-10, kemenangan Joe Biden dalam Pilihanraya Presiden AS 2020. Ia juga menandakan berakhirnya pentabiran Presiden Donald Trump.

Namun sehingga kini, Trump masih enggan menerima kekalahan walaupun pada 14 Disember Electoral College AS telah mengesahkan kemenangan Biden.

Diharapkan, tahun 2021 akan menyaksikan dunia yang lebih stabil dan aman setelah ketidaktentuan yang dihadapi pada 2020 akibat pandemik Covid-19.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!