Setahun fenomena sastera
LEMBARAN 2020 telah memperlihatkan gejolak dan gelodak yang sukar diramalkan dan tidak pernah dibayangkan sebelum ini. Bukan sahaja berlaku perubahan landskap politik yang sehingga kini masih lagi tidak berada dalam titik aman, landskap industri perbukuan juga berubah sama sekali.
Negara bukan sahaja terasak dengan permasalahan kerakusan politikus mengatur strategi untuk memegang tampuk kepimpinan utama hinggakan membungkam keghairahan masyarakat mendepani kehidupan.
Wawasan 2020 yang dinanti-nantikan dan diimpikan dengan pelbagai keajaiban akhirnya hadir dan meninggalkan momen-momen di luar jangkaan.
Bagi pemain dan pemeran industri perbukuan, reputasi mereka semakin menguncup dengan jumlah penerbitan yang semakin berkurangan lantaran kemelesetan ekonomi yang dikatakan berpunca daripada ketidakstabilan politik dan diburukkan pula dengan walang pandemik Covid-19 yang melanda dunia.
Bagi sesebuah negara, ketamadunan ilmu sering dilihat dari aktif atau tidak penerbitan buku pada tahun-tahun berkenaan.
Sebagai penulis, penerbitan bukulah yang menjadi tanda aras pencapaian seseorang penulis, apatah lagi jika karya yang diterbitkan itu mencapai tahap kewibawaan sehingga melayakkannya diiktiraf oleh pelbagai pihak dalam apa-apa jua bentuk penghargaan.
Dua tahun belakangan sebelum mencecah tahun 2020, Pengarah Urusan Unesco, Audrey Azoulay telah mengisytiharkan Kuala Lumpur sebagai tuan rumah Ibu Kota Buku Dunia 2020.
Pemilihan dan penobatan ibu kota negara ini sudah pasti disambut baik pemeran industri dan rakyat negara kita. Inilah peluangnya untuk kita menonjolkan identiti negara sebagai masyarakat pembaca.
Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia 2020 mula dibayangkan sebagai syurga perbukuan yang dipenuhi dengan pelbagai kegiatan berbentuk perbukuan.
Hal ini juga cukup menggembirakan apabila sejumlah besar dana diperuntukkan oleh pihak kerajaan bagi melaksanakan aktiviti yang dijangka dilakukan dalam pelbagai skala dan kelompok fokus sasaran.
Berita ini menjadi kapsul pengubat duka, lantaran sebelum ini penggiat industri dirundum luka apabila salah satu gergasi industri, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) yang dianggap agak mesra penulis lumpuh tanpa rela lantaran pelbagai konflik kepimpinan sehingga turut menjejaskan industri.
Pemain-pemain industri mula berasakan bahawa kegiatan penerbitan akan jadi semakin lembap dan jumud. Yang merisaukan, apabila pihak-pihak sekretariat hadiah sastera melalui Dewan Bahasa dan Pustaka mengalami sindrom kemarau bahan berwibawa untuk dinilai.
Kematian Utusan Melayu sebelum ‘bernafas’ semula turut memberi kesan yang besar terhadap pembangunan persuratan. Utusan Melayu yang sekian lama menjadi medan mengasah dan mengembangkan bakat, mula kuncup dibaham gelodak kemelesetan ekonomi negara.
Bahan-bahan bacaan dan perbukuan mula diterbitkan secara digital dan pelantar media yang mula digunakan beralaskan hujah untuk menjimatkan kos percetakan dianggap sesetengah penggiat industri sebagai suatu jelaga alam yang akan merontokkan musim subur dunia sastera.
Tahun 2020 mungkin dianggap mengecewakan bagi kelompok penulis ‘dewa-dewa’. Namun pada masa yang sama wilayah kekuasaan sastera mula berubah sama sekali apabila fenomena penerbitan swaterbit timbul pesat bagaikan kerancakan pembinaan bangunan-bangunan pencakar langit di ibu kota.
Sekelip mata sahaja seseorang itu boleh menjadi penulis apabila karya-karya mereka dibukukan dan diterbitkan bersama-sama penulis lain yang bersama-sama menyumbangkan kos untuk percetakan dan penerbitan.
Kedapatan pandangan sinis mengatakan kemunculan ‘penulis segera’ ini hanya akan mengurangkan nilai kewibawaan sesebuah karya tanpa ditangani editor-editor yang mahir dalam bidang perbukuan khususnya dari aspek bahasa.
Pandangan ini ada juga benarnya tetapi jika dihalusi secara rinci dan selari dengan penobatan Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku, usaha-usaha sebegini seharusnya diberi tepukan dan pujian.
Kelompok penulis ini tidak meminta-minta dan menagih dana daripada kerajaan, sebaliknya mengumpul sendiri sumber kewangan untuk melahirkan buku.
Gaya penerbitan sebegini telah mula diterima dan menjadi sohor kini dalam kalangan penulis. Ajaibnya, kegiatan ini turut disokong oleh penulis-penulis ‘besar’ dan tersohor yang memainkan peranan sebagai pembimbing.
Keadaan ini cukup berbeza dari tahun-tahun sebelum ini yang memperlihatkan kesukaran kepada penulis untuk terlibat dalam aktiviti penulisan lantaran kekurangan peluang dan tumpuan kepada rumah penerbitan tertentu yang dianggap sebagai ‘don’ perbukuan.
Bukan tidak ada pihak-pihak sebelum ini yang cuba mengusahakan penerbitan secara swaterbit, tetapi usaha sebegini dipandang serong sebagai usaha bermatlamatkan ‘duit’ semata-mata dan bukannya untuk menerbitkan karya yang bermutu.
Tragisnya, apabila ada juga penulis-penulis mapan yang ketika itu menganggap karya-karya tempahan sebegini karya picisan dan tidak layak dibaca.
Pemain industri sewajarnya menerima letusan fenomena dan gaya penerbitan terkini yang mula diterima masyarakat.
Norma baharu yang mempengaruhi kehidupan dan rutin harian menjadikan masyarakat mempunyai lebih banyak masa terluang, ini memberikan ruang kepada mereka untuk mencerna idea dan ditumpahkan ke dalam bentuk penulisan.
Situasi sebegini seharusnya diraikan kerana memberi petanda bahawa terdapat ramai anggota masyarakat kita yang berminat dan berpotensi untuk menulis, cuma tidak diberikan ruang dan peluang.
2020 menyaksikan medium digital mengubah segala-galanya, wilayah kekuasaan sastera tidak lagi bersifat berat sebelah.
Jaringan dan rangkaian aktiviti tanpa sempadan dan perbatasan negara yang hanya bersandarkan gerbang maya juga memudahkan kegiatan-kegiatan persatuan dilakukan secara dalam talian.
Aktiviti-aktiviti seperti acara bacaan puisi, pidato, sayembara penulisan, resensi buku, nyanyian, mencipta video dan sebagainya seolah-olah ‘hijab’ yang terbuka seluas-luasnya untuk dimanfaatkan atau tidak.
Perubahan landskap politik, penerbitan, ekonomi dan rutin sosial yang kita geluti sekarang tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mematikan kreativiti.
Pengalaman 2020 perlu dijadikan pedoman untuk kita mencipta laluan mandiri agar konflik ini menjadi potensi mengatasi dinding pegun persepsi.
*Tuan Asri Husin ialah Setiausaha Agung Persatuan Penyair Malaysia (Penyair)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!