'Mak, saya kena tahan...'
KUCHING - Ibu kepada enam anak, Zunita Sedini merayu bantuan kerajaan untuk membawa pulang anak sulungnya, Yusuf Islam, bersama 46 lagi rakyat Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Kemboja sejak 16 Disember lepas, dipercayai akibat ditipu sindiket pemerdagangan manusia.
Zunita, 45, berkata anaknya yang baharu habis menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dijanjikan peluang pekerjaan dengan bayaran lumayan sehingga US$1,500 (lebih RM6,000), namun semuanya hanya sandiwara apabila setibanya di Kemboja mereka tidak mendapat pekerjaan yang dijanjikan.
“Setibanya di sana, mereka ditempatkan di sebuah rumah persendirian. Selepas menunggu beberapa minggu tiada apa-apa yang berlaku dan kemudian mereka ditahan oleh polis Kemboja.
"Mak saya kena tahan. Tolong kami 47 orang rakyat Malaysia,” itu mesej yang saya terima semasa menghubunginya kali terakhir pada 25 Disember lepas.
"Saya minta tolong dan merayu kepada Wisma Putra untuk membawa balik kesemua 47 rakyat Malaysia yang tidak bersalah itu pulang,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Julau, Larry Soon mengadakan sidang media hari ini bagi memaklum dan mengetengahkan nasib malang yang menimpa 47 rakyat Malaysia yang berumur antara 18 hingga 21 tahun itu yang disyaki menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia dan kini ditahan di sebuah penjara di negara terbabit.
Larry mendakwa kesemua mereka telah ditahan tanpa dibicarakan di mahkamah dan perkara itu juga tidak dimaklumkan kepada pihak kedutaan Malaysia di sana.
“Mereka ditahan kononnya atas tuduhan permainan perjudian dalam talian dan 47 rakyat Malaysia itu juga menafikan tuduhan itu,” katanya.
Daripada 47 mangsa itu, 44 daripadanya berasal dari Sarawak manakala bakinya dipercayai dari Semenanjung Malaysia dan majoritinya adalah lelaki.
Larry mendakwa 47 mangsa itu ditahan selama seminggu di lokap polis dan dipindahkan ke Penjara Daerah kira-kira 446 kilometer dari Phnom Penh. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!