Jangan berlembut dengan gerakan komunisme
SHAH ALAM - Kerajaan seharusnya tidak berlembut dengan gerakan komunisme di Pulau Pinang kerana ia adalah satu ancaman keselamatan secara subversif.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii berkata, sekiranya isu ini tidak diambil tindakan tegas, ianya akan menyebabkan rakyat berperang sesama sendiri.
“Apa yang cuba dilakukan oleh sebuah restoran di Juru, Pulau Pinang tidak boleh dipandang ringan.
ARTIKEL BERKAITAN: Polis buka kertas siasatan restoran pamer gambar pemimpin komunis
“Di dalam Artikel Dasar Keselamatan Negara, komunisme dinyatakan sebagai gerakan pengganas dan dianggap satu ancaman keselamatan,” katanya menerusi satu kenyataan di laman Facebooknya pada Ahad.
Pada Sabtu, tular di media sosial gambar hiasan dalam sebuah restoran yang memaparkan elemen komunisme dan pemimpin komunis sehingga menimbulkan pertikaian warganet.
Ramai pihak mendesak tindakan tegas diambil terhadap pemilik restoran terbabit dan ada juga mahu kewarganegaraan individu terbabit ditarik.
Mengulas lanjut mengenai isu tersebut, Razlan berkata, pihak keselamatan negara melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) bukan sekadar menurunkan tampalan dinding yang tertera di dalam kedai, malah mereka sepatutnya mengarahkan pemilik restoran itu menurunkan poster.
“Bukan kerja polis untuk menurunkan poster propaganda ini.
“Saya tidak faham, kenapa pihak berkuasa menjadi kuli kepada gerakan komunisme ini dengan menurunkan tampalan. Sekiranya mereka masih berdegil, tangkap dan reman pemilik serta pekerja yang bekerja kerana bersubahat,” katanya.
Katanya, pihak atasan termasuk Menteri Dalam Negeri perlu peka dengan bidang kuasa dan seharusnya lebih bijak menggunakan kuasa seperti tangkap dan penjarakan mereka yang terlibat dengan menggunakan akta yang sedia ada.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!