Budak 5 tahun lemas jatuh sungai
SUNGKAI - [DIKEMASKINI] Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun ditemukan lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Jerong Bikam di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, mangsa, Muhamad Amsyar Mohd Zamri ditemui pada jam 11.30 pagi oleh anggota bomba kira-kira 15 meter dari lokasi dia dilaporkan terjatuh.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa bersama abang dan sepupunya berusia 5 hingga 11 tahun telah bermain air di sungai berkenaan kira-kira jam 10.30 pagi.
“Siasatan mendapati kanak-kanak tersebut bermain di sungai yang terletak lebih kurang 200 meter dari rumah tanpa disedari oleh kedua ibu bapa ketika hujan lebat.
“Operasi mencari menyelamat telah dijalankan oleh 20 anggota Balai Bomba dan Penyelamat Tapah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Balai Polis Sungkai,” katanya.
Wan Azharuddin berkata, mangsa yang berjaya ditemui disahkan meninggal dunia.
“Mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Tapah untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohamad Yunus Abu berkata, mangsa dijumpai di dasar sungai pada kedalaman hampir dua meter.
“Operasi pencarian dilakukan dengan kaedah pencarian permukaan di lokasi kejadian. Anggota melakukan selaman mengambil mangsa di dasar.
“Mangsa yang berjaya dibawa naik diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Operasi ditamatkan pada jam 12.24 tengah hari,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!