Wanita cipta rekod berkayak lebih 361km

Nur Adilla menunjukkan sijil MBOR yang diterimanya sebagai wanita pertama melakukan ekspedisi kayak terpanjang di Malaysia.
Nur Adilla menunjukkan sijil MBOR yang diterimanya sebagai wanita pertama melakukan ekspedisi kayak terpanjang di Malaysia.
A
A
A

BAGAN DATUK - Seorang ibu kepada empat anak mencipta nama di dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai wanita pertama melakukan ekspedisi kayak terpanjang secara solo.

Nur Adilla Abu Hasan, 38, berjaya mengharungi perjalanan sejauh 361.47 kilometer bermula di Tasik Banding, Gerik merentasi Sungai Perak sehingga Beting Beras Basah di sini selama tujuh hari bermula 27 Disember lalu.

Menurut Nur Adilla, pengiktirafan yang diterima merupakan sesuatu yang membanggakan kerana misi tersebut berjaya diselesaikan.

“Sepanjang misi ini, pelbagai cabaran yang saya hadapi seperti arus deras, tersangkut dalam lumpur dan sebagainya, namun saya berjaya harungi sehingga ke penghujung di Bagan Datuk ini.

“Saya gembira sepanjang misi ini, ahli keluarga dan pasukan memberikan sokongan serta semangat untuk terus menamatkan misi ini dengan jayanya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup Dayungan Ekspresi Negaraku Kayak Solo Wanita 2020 di Dataran Bagan Datuk di sini pada Ahad.

Hadir menyempurnakan majlis tersebut, Exco Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Datuk Shahrul Zaman Yahya merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup; penaung misi berkenaan, Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi; Pengarah Dayungan Ekspresi Negaraku Kayak Solo Wanita 2020, Ramli Ahmad Rozali dan beberapa tetamu jemputan lain.

Nur Adilla (empat dari kiri) menerima sijil MBOR daripada Nurul Fatihah sambil diperhatikan Shahrul Zaman (tiga dari kanan) selepas Majlis Penutup Dayungan Ekspresi Negaraku Kayak Solo Wanita 2020 di Dataran Bagan Datuk pada Ahad.
Nur Adilla (empat dari kiri) menerima sijil MBOR daripada Nurul Fatihah sambil diperhatikan Shahrul Zaman (tiga dari kanan) selepas Majlis Penutup Dayungan Ekspresi Negaraku Kayak Solo Wanita 2020 di Dataran Bagan Datuk pada Ahad.

Penyampaian Sijil MBOR disempurnakan wakil MBOR, Nurul Fatihah Mahmood dan Edwin Yeoh.

Artikel Berkaitan:

Bercerita lanjut mengenai misi tersebut, Nur Adilla berkata, sasaran awal ekspedisi tersebut hanya sejauh 350km, namun berjaya melengkapkan misi melebihi daripada sasaran.

Menurutnya, setiap hari beliau akan mula berkayak pada jam 8 pagi sehingga 5 petang mengharungi setiap laluan ditetapkan.

Katanya, laluan paling panjang adalah daripada Kenering hingga ke Kuala Kangsar sejauh 80km.

“Antara saat yang tidak dapat dilupakan sepanjang misi ini, saya terperangkap di dalam lumpur kira-kira 20 minit di Sungai Dulang, Bagan Datuk sebelum dapat naik ke dalam kayak.

“Cabaran-cabaran ini perlu diharungi seorang diri tanpa bantuan untuk melengkapkan misi solo ini,” katanya yang bertugas sebagai pembantu tadbir Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak.

Sementara itu, Nur Adilla berkata, persiapan dari segi mental dan fizikal dibuat selama setahun sebelum bermulanya misi berkenaan.

Menerusi kejayaan itu, beliau berhasrat untuk bersama-sama rakannya, Saidatul Atiqa Md Isa, 31, yang akan melaksana misi kayak secara solo di Danau Toba, Indonesia tahun ini.

Nur Adilla bersama suami, Mohd Shamsul Naim Mohd Amran, 46, dan anak menunjukkan sijil MBOR yang diterimanya.
Nur Adilla bersama suami, Mohd Shamsul Naim Mohd Amran, 46, dan anak menunjukkan sijil MBOR yang diterimanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!