Trauma 11 kali tempuh banjir

Raja Duratun bersama anaknya di PPS Masjid Kampung Ulu Pulai.
Raja Duratun bersama anaknya di PPS Masjid Kampung Ulu Pulai.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang penjual pisang goreng mendakwa trauma selepas 11 kali menempuh bencana banjir termasuk dia tidak dapat berniaga menjual pisang goreng di hadapan rumahnya kerana gerai dan peralatannya berniaga habis tenggelam pada tahun lepas.

Raja Duratun Nasihen Raja Othman, 31, berkata, sepanjang 28 tahun menetap di Kampung Ulu Pulai, kejadian banjir pada Sabtu disifatkan paling teruk kerana air banjir mencecah paras satu meter selain arus air yang deras menyebabkan lantai rumahnya pecah.

"Sungai Ulu Pulai cuma terletak kira-kira 500 meter dari rumah saya. Selepas Subuh tadi (pada Ahad), saya sempat tengok, aliran air deras yang ditambah pula dengan hujan.

"Selepas siap masak sarapan pagi, saya nampak air sungai sudah melimpah dan mula memasuki ke dalam rumah. Kemudian air banjir semakin naik hingga menyebabkan lantai rumah saya retak," katanya ketika ditemui Pusat Pemindahan Sementara ( PPS) di Masjid Kampung Ulu Pulai di sini pada Ahad.

Menurut Raja Duratun lagi, dia dan suami Mohd Azhar Bakar, 31 yang bekerja sebagai tukang paip, tidak pernah membeli perabot memandangkan rumah mereka kerap dinaiki air banjir.

"Biasanya di rumah, saya beli perkakas yang tidak mahal seperti plastik kerana boleh dibuang jika rosak akibat banjir," kata wanita tersebut yang tinggal bersama ibunya, Nur Zahiah Hasan,57.

Menurutnya, dia dan suaminya pernah bercadang mencari rumah sewa berdekatan Gelang Patah supaya dapat tinggal dalam rumah lebih selesa namun ibunya (Nur Zahiah) masih mahu tinggal rumah itu kerana ia merupakan peninggalan arwah ayahnya.

Seorang penduduk, Fadil Ismail, 5, pula berkata, barang seperti tilam dan pakaian sudah dipindahkan ke tempat tinggi sejak Jumaat lalu selepas hujan tidak berhenti turun sejak petang Khamis.

Artikel Berkaitan:

"Tahun lepas rumah dinaiki air lebih empat kali iaitu pada bulan Jun, Julai, September dan Oktober. Kawasan rumah memang kerap dinaiki air kerana kedudukan rumah rendah.

"Saya sudah siap sedia untuk hadapi banjir. Air naik sehingga paras satu meter pada petang Sabtu. Pagi Ahad pula banjir sudah surut," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri DUN Pekan Nanas, Yeo Tung Siong berkata, dianggarkan sebanyak 30 buah rumah penduduk Kampung Ulu Pulai dinaiki air pada Sabtu, namun telah surut pada pagi Ahad.

Katanya, projek meluruskan hulu Sungai Ulu Pulai sejak awal Disember lalu, membantu mempercepatkan air banjir kembali surut kerana aliran air sungai tidak lagi tersekat seperti sebelum ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!