UMNO sasar bertanding 96 kerusi Parlimen pada PRU15
REMBAU - UMNO menyasarkan untuk bertanding tidak kurang daripada 96 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keputusan itu selepas mengambil kira rundingan dengan parti komponen dalam Barisan Nasional (BN), Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Beliau berkata, berdasarkan formula awal perundingan, UMNO juga akan terus kekal dengan 55 kerusi yang dimenangi pada PRU14.
"Kita ada formula yang akan diguna pakai. Sekarang ini UMNO ada 55 kerusi Parlimen, manakala Pas sebanyak 18 kerusi dan Bersatu sebanyak 13 kerusi. Kesemua ini adalah hak masing-masing.
"Kita akan utamakan kerusi yang dimenangi parti berdasarkan pada keputusan PRU14. UMNO tetap dengan pendirian untuk bertanding tidak kurang daripada 96 kerusi termasuk di 55 Parlimen yang dimenangi lalu.
"Begitu juga dengan Pas dan Bersatu. Jika kerusi itu mereka punya, kita berikan hak itu kepada mereka. Kalau kita susun dengan baik, pasti semuanya berjalan lancar," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Rembau di Dewan Biduanda Universiti Teknologi Mara (UiTM) Rembau di sini pada Ahad.
Hadir sama, Timbalan Ketua UMNO Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Mohamad yang juga Pengerusi UMNO Negeri Sembilan dan Ketua UMNO Bahagian Rembau berkata, setakat ini ketiga-tiga parti sudah setuju dengan formula berkenaan.
"Tetapi jika di saat akhir ada yang tidak bersetuju, kita akan ikut haluan masing-masing," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Nazri Aziz dedah Bersatu tawar wang tubuh cawangan
Beliau bagaimanapun berkata, UMNO tidak boleh mengharapkan orang lain untuk berjaya, sebaliknya perlu lebih kuat dalam memperkasakan parti, selain mencari nilai tambah untuk kekuatan parti.
Mohamad berkata, pihaknya juga menyedari sebahagian akar umbi UMNO menolak untuk menjalin kerjasama dengan Bersatu.
"Saya tahu ramai yang menolak (bersama Bersatu) tetapi itu hanya pendapat mereka sahaja, bukan keputusan parti. Jika kita semua boleh sepakat dan menerima cadangan dengan baik, boleh bersama dengan baik dan kita akan jadi lebih kuat daripada terus menolak.
"Ramai yang bersuara itu adalah atas rasa tidak puas hati dan pandangan masing-masing. Sudah tentu nanti kita akan bermesyuarat mengenai perkara tersebut bersama Majlis Tertinggi.
"Berfikir biar bijak, bertindak biar berakal," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!