Wan Azizah bimbang mesej palsu tohmah PH
PUTRAJAYA - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan jumlah catatan dan mesej palsu di media sosial sejak kebelakangan ini terutamanya mengenai kerajaan PH.
Jelas beliau, kebanyakan daripada catatan tersebut berniat jahat daripada pihak tidak yang bertanggungjawab berselindung di sebalik nama samaran untuk mewujudkan ketegangan dalam empat parti gabungan itu.
“Jangan mudah percaya semua yang anda baca di sosial media dan jangan kongsi apabila anda tidak pasti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Wan Azizah menjelaskan, gambar beliau bersama Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang disertakan kapsyen palsu yang tular menerusi akaun Menteri FB baru-baru ini adalah gambar lama.
Gambar itu turut disertakan dengan catatan “Selepas Azmin Ali dimasukkan ke hospital, tiba pula giliran Wan Azizah Ismail”.
Selain itu, terdapat hantaran di media sosial yang penuh pembohongan termasuk spekulasi bahawa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan menggunakan alasan penyakit yang dihidapi oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Dr Wan Azizah sebagai alasan untuk melantik anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Dalam pada itu, Wan Azizah turut menegur kepada semua pihak yang terlibat dengan perkara tersebut supaya memiliki rasa tanggungjawab terhadap catatan yang mereka disiarkan.
“Di kala sosial media telah merubah cara kita berkomunikasi pada hari ini dan telah menjadikan dunia tanpa sempadan, perlulah ada rasa tanggungjawab terhadap catatan disiarkan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!