Rancangan PH tawan Putrajaya sebelum PRU15 masih berjalan: Anwar
KUALA LUMPUR - Rancangan Pakatan Harapan (PH) untuk menawan Putrajaya sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) masih berjalan.
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, PH juga sedang mempersiapkan jentera bagi menghadapi PRU15.
“Kita lakukan kedua-duanya. Jentera pilihan raya DAP, PKR, dan Parti Amanah Negara (Amanah) sudah bermesyuarat dan menyusun strategi mengikut keutamaan kami. Pada masa sama, kami teruskan usaha kami.
“Saya tidak boleh katakan lebih daripada ini. Tetapi ia adalah serangan serampang dua mata,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program 'Sepetang 2021 Bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim' di sini pada Ahad.
Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita adakah pihaknya masih mengusahakan peralihan pentadbiran kerajaan sebelum PRU15 selepas usaha PH pada September lalu tidak berhasil.
Sementara itu, Anwar yang juga Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat turut bersetuju dengan pendapat dalam kalangan parti komponen PH bahawa pembangkang harus menggabungkan kekuatan mereka.
Beliau berkata, PH juga tidak mahu terbeban dengan pihak yang mengatakan 'Malaysia untuk Melayu', sebaliknya PH mewakili pandangan untuk mengajak dan merangkul kekuatan untuk semua pihak.
Dalam pada itu, ketika ditanya adakah beliau masih sedia bekerjasama dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden PKR itu menganggap Dr Mahathir bukanlah isu utama untuk menjalin kerjasama.
“Kita ambil sikap terbuka. Mana-mana parti yang terima dasar tata kelola yang baik, tidak amalkan kronisme, kita setuju. Saya setuju bukan dengan orang atau parti, tetapi prinsipnya,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: UMNO desak segerakan PRU15
Anwar turut menyatakan bahawa beliau enggan berbalah dan sebolehnya tidak mahu mengambil kira apa yang diperkatakan Dr Mahathir.
“Itu pandangan dari luar. Tak apalah, Tun Mahathir itu kita sudah kenal lama, biar sahaja. Apa yang penting, PKR dan PH ambil sikap terbuka dengan sesiapa yang boleh terima dasar, prinsip kita. Kalau setuju kita terima.
“Saya tidak mahu berbalah, apa yang sibuk sangat dengan kenyataan Tun Mahathir. Itu minggu sudah. Minggu depan lain pula, saya jawab balik. Selagi sesiapa yang landasannya sama seperti tolak rasuah, kronisme dan keangkuhan. kita terima,” katanya.
Pada Jumaat lalu, Dr Mahathir berkata, beliau tidak akan menjalin sebarang kerjasama dengan Anwar dan menyifatkan menyifatkan segala janji dan kata-kata Ahli Parlimen Port Dickson itu tidak boleh dipercayai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!