Tanah runtuh di Bukit Fraser, 13 kenderaan terkandas
KUANTAN - Polis mengesahkan 13 kenderaan terkandas di antara dua timbunan tanah yang runtuh di Jalan Bukit Fraser-Raub, kira-kira 230 kilometer dari sini sekitar jam 1.30 tengah hari Ahad.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Kama Azural Mohamed berkata, kesemua mereka dipercayai terperangkap selepas tidak dapat turun ekoran laluan terputus di Kilometer (KM) 2 jalan itu dan usaha berpatah semula ke Bukit Fraser tidak berjaya kerana berlaku tanah runtuh di KM4 jalan sama.
"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Buat masa ini, sebilangan besar mangsa sudah dibawa naik semula ke Bukit Fraser dengan bantuan polis dan orang kampung selepas mereka berjalan kaki menyeberangi kawasan yang terhalang dengan tanah runtuh.
"Keutamaan diberikan kepada golongan wanita dan kanak-kanak. Sebahagian lagi masih dalam usaha untuk dikeluarkan sebelum dibawa ke Bukit Fraser untuk bermalam hari ini," katanya semasa dihubungi Bernama pada Ahad.
Kama Azural berkata, pihaknya sudah berhubung dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) di Kuala Kubu Bharu, Selangor untuk membersihkan runtuhan yang berlaku memandangkan laluan dari Raub juga sudah terputus.
Beliau turut mengesahkan berlaku runtuhan di tiga lokasi di Jalan Bukit Fraser-Raub yang dipercayai berlaku ekoran hujan berterusan sejak Sabtu. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: Jalan lama Bentong-Raub ditutup akibat tanah runtuh
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!