‘Hadiah’ setahun kematian Soleimani
3 JANUARI, genap setahun kematian Leftenan Jeneral Qasem Soleimani. Sosok Jeneral yang paling digeruni Amerika Syarikat (AS) terutama Presiden Donald Trump yang bakal tamat tempoh sebagai Presiden pada 20 Januari ini.
Soleimani merupakan seorang tokoh dijulang tinggi dalam menggerakkan anggota militia bersenjata di seluruh rantau untuk menentang AS dan sekutunya. Mereka ingin memperluaskan pengaruh dari Iran ke Mediterranean.
Tahun lalu, ratusan ribu rakyat Iran berduka menangisi kematiannya, namun berbeza selepas setahun pemergian Komandan Pasukan Quds yang merupakan sayap pasukan elite Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran itu.
Ribuan rakyat Iran masih mahu menuntut bela atas kematian pemimpin yang maut ketika dalam kunjungan ke Baghdad, Iraq itu.
Sehingga kini, Iran bukan sahaja menuduh AS bertanggungjawab, malah ia juga mencetuskan gelombang amarah mendalam rakyat Iran terhadap AS terutama Trump.
Sehingga hari ini juga, Iran bukan sahaja menuduh AS mendalangi serangan itu, malah turut mengaitkan Iraq, Syria, Lebanon, Jordan, Kuwait, Qatar, Jerman dan Britain.
Menurut DEFA Press, Iran kemungkinan akan menambah daftar negara yang dituding berperanan dalam pembunuhan Soleimani sejurus proses penyelidikan selesai.
Pada Rabu lalu, Pegawai Pendakwa Tehran, Ali Alqasimehr mendakwa sebuah syarikat keselamatan Britain, G4S dan sebuah Pangkalan Udara Ramstein di Jerman terlibat dalam pembunuhan Soleimani.
Selepas kenyataan itu dikeluarkan, Ketua Angkatan Tentera Iran, Hossein Salami bersumpah melakukan serangan balas terhadap mana-mana negara yang cuba mengganggu gugat keamanan Iran termasuk Ketua Komandan Pasukan Quds baharu, Esmail Ghaani yang mahu membalas dendam terhadap kematian Soleimani.
Ketegangan
Seminggu sebelum itu, sejumlah roket meledak di kawasan berhampiran Kedutaan Besar AS di Baghdad. Serangan dipercayai tercetus ketika ketegangan meningkat menjelang ulang tahun kematian Soleimani.
Kedutaan Besar AS menuduh puak Hezbollah bertanggungjawab terhadap serangan tersebut, sekali gus memberi peluang kepada Trump menggunakan alasan itu untuk memulakan serangan balas.
Empat hari sebelum hari memperingati kematian Soleimani, AS melakukan tindakan provokasi dengan menghantar jet pengebom B-52 ke Timur Tengah, kononnya sebagai ‘mesej jelas’ kepada Tehran.
AS mendakwa penerbangan itu juga bertujuan menunjukkan kemampuan mereka mengerahkan kekuatan tentera dalam waktu yang singkat.
Penghantar jet pengebom B-52 itu dianggap ‘hadiah’ sempena memperingati kematian Soleimani. Untuk rekod, penghantaran itu adalah serangan provokasi ketiga ke kawasan Timur Tengah dalam tempoh 45 hari terakhir ini.
Sehingga Sabtu, negara-negara di Timur Tengah dalam bersiap siaga menantikan sebarang kemungkinan yang akan dicetuskan oleh Trump. Perkara itu dikuatkan lagi dengan spekulasi di Washington bahawa Trump memacu konflik dengan Iran untuk mengalihkan perhatiannya selepas kegagalan pemilihan Presiden pada November lalu.
Penganalisis Pengajian Antarabangsa dari US Naval War College, Tom Nichols berkata, tindakan Trump bertujuan meninggalkan beban kepada Presiden baharu, Joe Biden dalam pentadbiran ketenteraan sebelum meninggalkan Rumah Putih.
Bagaimana pula kita di Malaysia? Adakah hubungan diplomatik dengan negara jiran kekal aman atau sebaliknya? Minggu lalu, kita nyaris ‘panas’ dengan Indonesia apabila berlaku insiden penghinaan terhadap lagu kebangsaan Indonesia Raya.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, suspek utama yang menyunting lirik lagu kebangsaan seperti tular di media sosial itu disyaki dilakukan warga republik berkenaan dan video tersebut bukan dibuat di Malaysia.
Hasil kecekapan kedua-dua agensi keselamatan itu, Ketua Agensi Siasatan Jenayah Polis Indonesia, Listyo Sigit Prabowo berkata, pelaku telah ditahan di sebuah rumah di Cianjur, Jawa Barat.
Diharap tahun ini Malaysia kekal aman daripada ancaman dalam dan luar negara. Masih belum terlambat untuk mengucapkan selamat tahun baharu 2021.
* Liza Hasan ialah wartawan Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!