WhatsApp terakhir sebelum lemas
KUALA NERANG - Seorang mangsa sempat mengemas kini status di laman 'WhatsApp' kira-kira 15 minit sebelum lemas di rumah pam Sungai Pedu, Kampung Bukit Sena, di sini.
Ibu saudara mangsa, Sabariah Shaari, 46, berkata, Nur Sariza Hafniza Samsudin, 14, sempat memuat naik gambar sungai dengan ayat 'Hmm panas' pada pukul 12.43 tengah hari tadi.
"Saya sempat bergurau dengan depa masa mai singgah rumah saya. Saya kata jangan balik kampung lama sangat dan depa kata hanya balik sehari dua sahaja.
"Depa bagitau hendak balik kampung nak berkelah sebab kebetulan mak-mak menakan semua balik masa raya ni. Saya terkejut bila dimaklumkan tentang kejadian ni," katanya ditemui di Unit Forensik Hospital Kuala Nerang, dekat sini.
Sebelum ini, jurucakap bomba berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 1.45 tengah hari dan melancarkan operasi mencari empat mangsa berkenaan sebelum semua ditemui kira-kira jam 5.30 petang tadi.
Bagaimanapun, hanya rakan mangsa yang dikenali sebagai Hanis, 14 tahun yang sempat diselamatkan.
Selain Nur Sariza, mangsa yang maut dalam kejadian tersebut ialah kakaknya, Nur Safia Hafiza Samsudin, 16, dan datuk mereka, Mohamad Ramli Ibrahim, 65.
Menurut Sabariah, dua beradik itu menetap di Taman Persisir Kota, Kuala Kedah pulang ke kampung bersama ibu dan adik bongsunya di Kampung Tanjung, Isnin lalu sempena cuti perayaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!