Chelsea perit 'diajar' City
PENGURUS Chelsea, Frank Lampard mengakui The Blues mendapat pengajaran berguna selepas tewas 1-3 kepada Manchester City pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge awal pagi Isnin.
Lampard berkata, anak-anak buahnya seakan-akan hilang rentak pada aksi babak pertama sehingga menyaksikan City memperoleh tiga gol hasil jaringan Ilkay Gundogan, Phil Foden dan Kevin De Bruyne.
"Ia babak pertama yang memeritkan. Kami perlu lebih baik ketika menerima bola di ruang sempit, kami perlu memahaminya. Apabila tekanan datang, anda perlu menghadapinya atau tekanan itu akan terlepas.
"Apabila pasukan lawan memberikan anda masalah di tengah padang, ia perlu dihadapi dalam permainan. Dalam babak pertama, kami tidak melakukannya. Dalam babak kedua, kami lebih baik tetapi ia sudah terlambat," katanya.
Lampard memberitahu, fokusnya kini lebih terarah kepada meningkatkan kembali semangat dan motivasi The Blues yang mengalami kekalahan keempat daripada enam perlawanan terakhir liga.
"Kami tewas 0-1, 0-2, 0-1 dan para pemain sudah berasakan diri mereka berada dalam keadaan sukar. Saya seorang yang mementingkan kesempurnaan dan sudah tentu saya mahukan yang terbaik untuk kelab ini.
"Orang pertama yang memberi tekanan adalah diri saya sendiri. Saya mahu kami sentiasa memperbaiki prestasi dalam setiap perlawanan walaupun pada saat kami menghadapi kesukaran," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!