City sudah temui rentak juara
Pengurus Manchester City, Pep Guardiola optimis The Citizens sudah kembali pada tahap prestasi sama ketika menjuarai Liga Perdana Inggeruis (EPL) musim 2017/2018 dan 2018/2019.
Keyakinan Guardiola itu bersandarkan kepada rentak permainan yang ditampilkan anak-anak buahnya ketika menewaskan Chelsea 3-1 di Stamford Bridge pada awal pagi Isnin.
"Saya lihat cara bagaimana mereka memenangi gelaran liga adalah cara yang sama kami bermain hari ini. Tempo yang kami hilang sebelum ini, kami telah temuinya hari ini.
"Situasi itu memberikan kelegaan kepada saya. Selepas bermula agak perlahan pada awal musim ini, prestasi kami mula meningkat sejak beberapa perlawanan terakhir ini, saya cukup gembira," katanya.
Kemenangan ketiga berturut-turut pada aksi liga itu menyaksikan The Citizens kini melonjak ke tangga kelima apabila mengumpul 29 mata selepas mengharungi 16 perlawanan.
Biarpun tampil tanpa enam tonggak utama yang dijangkiti Covid-19, City masih mampu membawa pulang tiga mata berharga dari gelanggang lawan hasil jaringan babak pertama Ilkay Gundogan, Phil Foden dan Kevin de Bruyne.
"Para pemain amat cemerlang dalam pelbagai cara, terutama ketika mengawal bola. Kami tidak boleh bermain seperti pasukan lain, kami perlu bermain dengan rentak kami sendiri.
"Kami memenangi gelaran dengan cara itu, dengan lebih bersabar. Kami sedikit kehilangan tempo itu dan kembali mendapatkan rentak permainan sebenar hari ini," jelas Guardiola.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!