Tindakan tegas jika promosi ideologi komunisme: Ayob Khan
JOHOR BAHRU - Polis Johor akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang mempromosikan ideologi komunisme atau sosialisme.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ini termasuk memaparkan karikatur pejuang komunis di mana-mana premis.
“Sekiranya mana-mana pihak melakukannya hingga boleh membangkitkan sokongan terhadap perjuangan parti komunis, tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.
Ketika ini tular papan iklan di sebuah premis makanan di Taman Mount Austin, di sini yang memaparkan gambar pemimpin-pemimpin komunis termasuk dekorasi bahagian dalam selain para pekerjanya dikatakan turut berpakaian seperti tentera komunis China.
Terdahulu pada Sabtu tular gambar hiasan di dalam sebuah restoran di Georgetown, Pulau Pinang yang memaparkan elemen komunisme dan pemimpin komunis dalam media sosial sehingga menimbulkan pertikaian netizen.
ARTIKEL BERKAITAN: Polis buka kertas siasatan restoran pamer gambar pemimpin komunis
Jangan berlembut dengan gerakan komunisme
Karikatur komunis: MCA sifatkan tindakan polis terlalu keras
Mengenai premis makanan di taman itu, Ayob Khan berkata, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan sudah melakukan siasatan dan pemeriksaan pada jam 3.40 petang pada Ahad.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati premis makanan itu sudah diubah dan tiada lagi imej-imej seperti yang ditularkan dalam media sosial.
“Restoran tersebut milik seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun dan siasatan mendapati isterinya adalah warganegara China. Dia menjelaskan gambar yang diviralkan adalah dari tahun 2019,” katanya.
Sebelum ini katanya, pihak berkuasa tempatan (PBT) sudah mengambil tindakan terhadap premis berkenaan atas kesalahan mempamerkan iklan yang tidak mematuhi syarat.
Beliau berkata, pihaknya sudah menjalankan siasatan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 47 Akta Pertubuhan 1966 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia (AKMM) 1998.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!