MBJB turunkan papan iklan berunsur komunis
JOHOR BAHRU - Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) menurunkan papan iklan sebuah premis makanan di Taman Mount Austin di sini pada Isnin kerana mengandungi unsur-unsur komunisme.
Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Adib Azhari Daud berkata, papan iklan tersebut mengandungi elemen atau logo bintang satu yang dilihat menyentuh sensitiviti masyarakat.
“Papan iklan berkenaan sudah diturunkan pada jam 10 pagi tadi. Gambar-gambar yang tular dalam media sosial baru-baru ini merupakan gambar lama premis berkenaan sebelum proses ubah suai dijalankan pemilik premis,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.
Sebelum ini tular papan iklan di premis tersebut yang memaparkan gambar pemimpin komunis termasuk dekorasi bahagian dalam selain pekerjanya dikatakan turut berpakaian seperti tentera komunis China.
Terdahulu tular gambar hiasan dalam sebuah restoran di Georgetown, Pulau Pinang yang memaparkan elemen komunisme dan pemimpin komunis dalam media sosial sehingga menimbulkan pertikaian netizen.
Adib Azhari memberitahu, ini kesalahan terbaharu restoran itu dan sebelum ini premis berkenaan telah diperiksa dan MBJB mengeluarkan dua notis pada 29 Disember 2019 disusuli notis kedua pada 9 Disember 2020.
“Semasa pemeriksaan pada 29 Disember 2019, MBJB mendapati ada dua buah papan iklan premis perniagaan. Sebuah papan iklan premis mendapat kelulusan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) manakala sebuah lagi iklan tambahan dan tiada kelulusan MBJB.
“Papan iklan tambahan tersebut telah dinotiskan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Iklan (MBJB) 2010 iaitu iklan tidak mempunyai lesen yang sah daripada MBJB,” katanya.
Katanya, pada 12 November 2020 hasil pemantauan susulan mendapati papan iklan premis perniagaan yang telah dinotiskan masih tidak dipatuhi pemilik premis.
Sehubungan itu katanya, tindakan penguatkuasaan telah dilaksanakan MBJB dengan membuka dan menyita papan iklan tersebut.
Katanya, notis kedua pula dikeluarkan Jabatan Pelesenan MBJB itu dilakukan di bawah UUK Pelesenan Iklan (MBJB) 2010 iaitu iklan yang tidak melambangkan budaya dan cara hidup masyarakat Malaysia.
Dalam pada itu, beliau mahu warga bandar raya terus menyalurkan maklumat atau aduan kepada MBJB sekiranya terdapat paparan lain yang berunsurkan komunisme atau perkara mengundang sensitiviti masyarakat dalam kawasan MBJB agar tindakan segera dapat diambil.
"Warga Bandaraya Johor Bahru juga diingatkan bersama memelihara keharmonian dengan mengelakkan perkara yang bertentangan dengan norma budaya masyarakat negara ini, mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa serta menghayati prinsip-prinsip Rukun Negara dalam kehidupan seharian," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!