Rumah seram Melaka bakal tarik 300,000 pelancong

Produk pelancongan baharu, 'Rumah Seram Melaka' yang dijadual siap sepenuhnya Mei ini, dijangka mampu menarik kehadiran kira-kira 300,000 pengunjung setiap tahun, sekali gus meningkatkan hasil pendapatan negeri.
Produk pelancongan baharu, 'Rumah Seram Melaka' yang dijadual siap sepenuhnya Mei ini, dijangka mampu menarik kehadiran kira-kira 300,000 pengunjung setiap tahun, sekali gus meningkatkan hasil pendapatan negeri.
A
A
A

MELAKA - Produk pelancongan baharu, 'Rumah Seram Melaka' yang dijadual siap sepenuhnya Mei ini, dijangka mampu menarik kehadiran kira-kira 300,000 pengunjung setiap tahun, sekali gus meningkatkan hasil pendapatan negeri.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, projek membabitkan pelaburan kira-kira RM21 juta yang dibangunkan di pekarangan Menara Taming Sari itu, bakal menyajikan pengunjung dengan pelbagai genre seram, misteri dan peristiwa hitam, berdasarkan cerita masyarakat yang pernah berlaku di Melaka.

“Tema seram dipilih sebagai produk pelancongan baharu di Melaka, kerana kita mahu mempelbagaikan tempat beriadah untuk pelancong ke negeri ini, sebelum ini antara produk yang kita sudah ada ialah zoo dan ‘Dinosaur World’, tetapi belum ada produk bertemakan seram.

“Justeru, bagi pengunjung yang sukakan kelainan seperti sesuatu yang menguji keberanian, mereka boleh pilih Rumah Seram Melaka sebagai destinasi pelancongan,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Produk Pelancongan Baharu antara Melaka Taming Sari Berhad dan Syarikat RBA Risk Advisors Sdn Bhd, di Kompleks Seri Negeri di sini hari ini.

Menurut Sulaiman meskipun produk tersebut berkonsepkan rumah hantu, namun pengunjung boleh menimba ilmu pengetahuan melalui pengisian cerita-cerita sejarah, seperti legenda Hang Tuah Lima Bersaudara dan Hikayat Puteri Hang Li Po dalam bentuk yang lebih interaktif.

Pada majlis itu, Melaka Taming Sari diwakili dua ahli lembaga pengarahnya Abdullah Ali dan Mohd Salleh Jusman, manakala RBA Risk Advisors Sdn Bhd diwakili Zamberi Abdullah dan Tee Lai Aun, juga selaku ahli lembaga pengarah.

Turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian berkenaan ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Melaka Datuk Muhammad Jailani Khamis, yang juga Pengerusi Melaka Taming Sari.

- Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!