Tak setuju usul pecat Annuar
KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar tidak bersetuju dengan usul yang mahu memecat Tan Sri Annuar Musa daripada parti itu.
Beliau yang membantah usul Ketua Pemuda UMNO Pasir Puteh berkata, UMNO tidak perlu memecat Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu hanya kerana Annuar berbeza pendapat dengan pucuk pimpinan dan suara akar umbi.
“Sebagai sebuah parti yang pernah kalah dan ditolak rakyat seharusnya pimpinan UMNO belajar dari pengalaman yang silam. Antara punca UMNO kalah dahulu kerana mengamalkan politik sempit yang menghukum kepada mana-mana pimpinan yang dilihat tidak sehaluan dengan pucuk pimpinan atau yang berani menegur untuk kebaikan parti.
ARTIKEL BERKAITAN: MT akan putuskan usul tolak kerjasama dengan Bersatu
'Kalau nak pecat saya silakan...'
Cadang tarik diri sokong kerajaan jika PRU15 tidak dilaksana segera
“Saya bukan menyokong semua kenyataan yang dibuat oleh Annuar tetapi lebih baik ada pimpinan yang berani bercakap benar ke arah kebaikan UMNO,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau pada Isnin.
Katanya, UMNO perlu mempunyai pemimpin yang boleh memberi pandangan dan menerima pandangan.
“Adakah bercakap dengan nada yang tidak seiring dengan kemahuan yang ramai dalam UMNO sudah dianggap menjadi satu kesalahan?” Katanya.
Ketua Pemuda UMNO Pasir Puteh, Muhammad Saifullah Ali pada Ahad mengusulkan supaya Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh dipecat daripada parti itu.
Beliau berkata, UMNO perlu mengambil tindakan tegas dengan memecat keahlian Annuar selepas beliau dilihat menjadi jurucakap kepada Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Tegas Rizalman lagi, budaya menghukum seseorang pemimpin atau ahli UMNO yang tidak sependapat dengan pimpinan tertinggi wajar dihentikan.
“Kalau tidak bersetuju perlu ada adabnya dan kalau tidak suka perlu ada sempadannya.
“Pada saya, Annuar mempunyai gaya dan corak yang tersendiri untuk membantu memperkukuh UMNO,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!