'Anak serah cincin, jadi petanda ajal'
KUALA NERANG - Mangsa lemas, Nur Safia Hafiza Samsudin, 16 sempat menyerahkan cincin yang dipakai kepada ibunya, Noor Hayati Mad Ramli, 40 sebelum turun ke dalam Sungai Pedu.
Menurut Noor Hayati, anak sulungnya itu meminta dia menyimpan sementara cincin yang tidak pernah ditanggalkan sebelum ini dan tidak menyangka ia menjadi petandanya akan pergi buat selama-lamanya.
"Saya memang tidak sedap hati untuk datang berkelah ke sini namun tetap mengikut permintaan arwah ayah yang mengajak kami datang ke sini. Pada asalnya saya ada hal nak pulang awal ke Kuala Kedah," katanya yang ditemui di Unit Forensik Hospital Kuala Nerang, dekat sini.
Dalam tragedi lemas itu, Nur Safia Hafiza, Nur Sariza Hafniza Samsudin,14, dan datuk mereka, Mad Ramli Ibrahim, 65, meninggal dunia akibat lemas di Sungai Pedu, dekat sini.
Manakala seorang lagi remaja perempuan dikenali Hanis iaitu rakan kepada dua beradik tersebut berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung.
Noor Hayati berkata, beliau yang sedang hamil 5 bulan hanya mampu melihat bapa dan dua anaknya itu dihanyutkan oleh air sungai deras.
Menurutnya, pada awalnya dua anaknya itu dan rakannya hanya bermain di gigi sungai sebelum turun ke tengah sungai.
"Saya sempat marah pada depa cakap kat tengah sungai dalam sebelum tiba-tiba air menjadi deras. Bapa saya yang sedang makan terus terjun ke dalam sungai untuk selamatkan mereka namun saya lihat mereka hilang dari pandangan saya selepas dibawa arus," katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerang, Penolong Penguasa Bomba Azahari Abdullah berkata, arus sungai yang deras itu dipercayai berlaku selepas pintu empangan dibuka.
Menurutnya, pihaknya terpaksa meminta kerjasama Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) untuk menutup pintu empangan pada jam 3 petang untuk operasi pencarian.
"Mangsa pertama berusia 14 tahun ditemui jam 2.26 petang diikuti kakaknya berusia 16 tahun pada pukul 4.36 petang petang. Manakala datuknya pula pada pukul 5.22 petang dalam radius 100 meter dari tempat mereka dilihat lemas," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: WhatsApp terakhir sebelum lemas
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!