Jamal buat hal, bakar kerang depan Pejabat Perikanan
SABAK BERNAM - Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos buat hal lagi, kali ini dengan membakar kerang di hadapan Pejabat Perikanan Daerah Sabak Bernam di Sungai Besar pada Isnin.
Tindakan itu sebagai sindiran kepada jabatan tersebut susulan gagal membendung aktiviti mencuri benih kerang di sekitar pesisir pantai Sungai Leman, Sekinchan di sini sejak dua minggu lalu.
Jamal mendakwa, terdapat pihak terlibat yang mencuri benih kerang tersebut dan menjualnya ke Thailand.
Menurutnya, pihak nelayan dan penduduk setempat telah berulang kali mendedahkan perkara tersebut namun aktiviti itu masih berlarutan sehingga kini.
"Kami tak tahu nak mengadu kepada siapa masalah 'rompakan' kerang ini. Pihak polis kata di bawah kuasa Jabatan Perikanan.
"Saya bukan syok sendiri, saya akan lakukan apa sahaja asalkan benih kerang ini dilindungi daripada pihak-pihak yang tamak haloba dari terus memusnahkan alam semula jadi," katanya menerusi siaran langsung di Facebook miliknya pada Isnin.
Jamal membawa sendiri meja, dapur, tong gas untuk membakar kerang tersebut sebelum menjamunya secara percuma kepada orang awam dan juga kakitangan Pejabat Perikanan berkenaan.
Dalam siaran langsung itu, Jamal berkata, laporan dibuat bagi membersihkan nama pegawai Pejabat Perikanan tersebut yang didakwa bersubahat melindungi kegiatan itu.
"Saya nak bersihkan nama jabatan itu yang terus menerus dijual oleh pihak tersebut yang kata sudah 'kaw tim' dengan pegawai Pejabat Perikanan Sabak Bernam.
"Itu sebab apa yang mereka (penceroboh) lakukan, tiada sesiapa boleh ambil tindakan. Itu sebab kegiatan mereka merompak benih kerang tidak ada halangan," katanya.
Beliau mengakhiri siaran langsung tersebut dengan masuk ke pejabat tersebut bagi membuat laporan.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan keluhan pengusaha kerang dan penduduk setempat berikutan kegiatan mencuri benih kerang semakin berleluasa di kawasan sekitar pesisir pantai Sungai Leman.
Seorang pengusaha kerang yang hanya mahu dikenali sebagai Ramli (bukan nama sebenar), 50, berkata, terdapat lebih 70 bot roto dikesan mengambil kerang secara haram di kawasan perairan itu dalam sesuatu masa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!