Penang FC optimis hadapi Liga Super 2021

Tomas Trucha
Tomas Trucha
A
A
A

JUARA Liga Premier 2020, Penang FC optimis dalam menghadapi saingan Liga Super 2021, malah akan memberikan persembahan terbaik sepanjang perlawanan berlangsung.

Ketua Jurulatihnya, Tomas Trucha berkata, walaupun dirinya kini memerlukan masa untuk mengenali pasukan dan barisan pengurusan, namun ia bukan penghalang baginya untuk berkongsi dan bertukar-tukar pengalaman yang ada, bersama Penolong Jurulatihnya, Manzoor Azwira Abdul Wahid dalam mencari titik keseimbangan dalam pasukan.

“Sasaran yang kami bincangkan dengan pengurusan kelab ialah bagi menstabilkan pasukan dalam liga, (dan) memastikan kami berada dipertengahan liga, kedudukan yang lebih baik, kami anggap satu kejayaan.

“Dalam masa sama, saya perlukan masa untuk kenali pemain dan beberapa pemain baru masih tiba dan kami akan ambil sedikit masa tetapi pada masa sama, saya faham keputusan itu penting, jadi kami akan cuba yang terbaik,” katanya ditemui Bernama semasa sesi latihan skuad Harimau Kumbang di Padang Awam Jawi semalam.

Bernama difahamkan sesi latihan jurulatih dari Republik Czech itu bersama pasukannya semalam adalah kali ketiga, setelah beliau tiba di Pulau Pinang dan telah menjalani tempoh kuarantin di Kuala Lumpur terlebih dahulu bermula 21 Disember lalu.

Beliau turut diminta untuk memberikan pandangan mengenai teknik gerakan ‘Tiki Taka’ yang digunakan oleh Manzoor sebelum ini, sehingga berjaya mengangkat pasukan Harimau Kumbang menjadi Juara Liga Premier 2020, sama ada akan dikekalkan atau sebaliknya.

“Seperti yang kami bincangkan, saya mahu bawa beberapa perkara baru yang kita boleh lakukan dengan lebih baik tetapi untuk kekalkan perkara yang selalu dilakukan seperti strategi bola, memastikan bola rendah di padang, pengantian pemain, ini yang akan kami teruskan dan mahu bawa beberapa perkara baru (perbaiki lagi pasukan).

“Saya fikir apa yang Manzoor dan pasukan teknikalnya telah lakukan satu yang bagus dengan pasukan, dan sebagai keputusan, mereka menjuarai liga premier, iaitu sesuatu yang bagus,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Trucha menambah, selain ingin mengamati ‘lenggok’ pasukannya dalam setiap perlawanan, beliau turut ingin memberi penekanan ke atas pasukan dengan mewujudkan rasa seronok dan teruja dalam kalangan pemain ketika di padang di samping mahu meningkatkan momentum pasukan dalam setiap saingan.

“Walaupun keputusan adalah penting, tetapi bagi saya, adalah penting bagi semua orang suka kepada permainan kami, dalam masa yang sama saya mahu semua orang sukakan bola sepak dan pemain juga perlu sukakan bola sepak,” katanya.

Trucha memulakan karier sebagai jurulatih seawal usia 25 tahun mempunyai pengalaman luas ketika menggalas tugas di Eropah sebelum menimba pengalaman baharu dengan beberapa pasukan di Afrika.

Terdahulu, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menerusi laporan akhbar mengumumkan perlawanan domestik seperti Liga Super dan Liga Perdana, masing-masing akan bermula pada 27 dan 28 Februari 2021 dan bakal berakhir pada 20 dan 21 Ogos 2021. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!