Ahli Umno, mohon jangan bodoh sombong lagi
SHAH ALAM - Ahli-ahli dan kepimpinan Umno diingatkan agar tidak mengulangi sikap bodoh sombong yang menyebabkan kekalahan parti itu dalam PRU14.
Timbalan Presiden Umno yang menjalankan tugas Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, itu antara pengajaran utama yang perlu diamalkan jika parti mahu bangkit.
“Dulu kita semua dengan jawatan masing-masing. Kadang-kadang bukan orang luar pun, cakap orang bawah sendiri pun kita tak nak dengar.
"Cakap orang muda pun kita ketepikan padahal inilah sumber ilmu baru yang perlu kita ada. Itu salah satu sebab mengapa kita kecundang," katanya dalam program Bicara Minda anjuran Sinar Harian, hari ini.
Katanya, Umno perlu menjaga imejnya yang telah dipulihkan.
"Dulu air politik tanah air keruh, apa saja berlaku semua Umno tak betul. Hari ini air sungai dah jernih tapi jangan keruhkan lagi supaya kejernihan itu dapat dimanfaatkan.
"Sekarang Umno dah tak ada isu, jadi kita akan masuk PRU15 dengan susun atur dan tertib yang baik. Tetapi jangan ulangi lagi perangai lama bodoh sombong dan ego yang terlalu tinggi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!