Tangani segera kumpulan antivaksin sebar dakyah
MERAK Jalanan setuju sangat dengan cadangan agar golongan antivaksin dihukum kerana menyebarkan perkara tidak benar dalam media sosial.
Perbuatan mereka cuba mempengaruhi orang lain supaya menolak vaksin sudah melampau benar.
Macam-macam dakyah songsang disebarkan oleh golongan berkenaan, kononnya vaksin tidak sepatutnya diambil oleh orang Islam kerana ia sebahagian agenda Yahudi.
Kita tahu golongan antivaksin tidak ramai berbanding mereka yang menyokong vaksin tetapi sikap degil mereka memberi kesan besar kepada masyarakat.
Bayangkan, penyakit berbahaya yang sudah diisytihar pupus di negara ini muncul semula gara-gara gerakan antivaksin.Merak Jalanan hendak beritahu bahawa penyakit tidak memilih orang. Sesiapa sahaja boleh terkena jangkitan.
Kalau boleh kita mahu hanya golongan antivaksin yang terkena penyakit tetapi itu tidak berlaku.
Sebab itu, kita kena perangi bersungguh-sungguh golongan antivaksin. Jangan beri peluang kepada mereka untuk terus kelirukan rakyat.
Kita harap pihak berwajib buat kerja, jangan duduk goyang kaki sahaja. Carilah jalan untuk atasi masalah tersebut. Bulan depan rakyat Malaysia bakal menerima vaksin pertama untuk Covid-19.
Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam yang bersidang pada 3 Disember lalu mengambil ketetapan bahawa hukum penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus dan ia wajib diambil golongan yang ditetapkan kerajaan.
Ketetapan itu juga telah disembah maklum kepada Majlis Raja-Raja. Kita semua mahu bebas daripada Covid-19 dengan segera.
Jadi, jangan benarkan harapan yang tinggi menggunung ini cuba dihancurkan oleh golongan antivaksin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!