Sungai utama di Kelantan lepasi paras amaran
KOTA BHARU - Beberapa sungai utama di negeri ini khususnya di kawasan pedalaman mula melepasi paras amaran susulan taburan hujan yang kadangkala lebat dan berterusan sejak beberapa hari lalu.
Sungai-sungai itu ialah Galas di Limau Kasturi (Gua Musang), Lebir (di Tualang, Kuala Krai), Kelantan (Kuala Krai) dan Kusial (Tanah Merah).
Laman web infobanjir.water.gov.my setakat jam 8 pagi pada Selasa menunjukkan Sungai Galas berada pada paras 58.28 meter, Lebir (31.19 meter), Kelantan (24.04 meter) dan Kusial (14.47 meter).
Selain itu, Sungai Jenob (Jeli) juga sudah melepasi tanda amaran iaitu 22.56 meter termasuklah Golok (Rantau Panjang) pada paras 7.19 meter
Sementara sungai lain seperti Semerak (Pasir Puteh) dan Golok di Kuala Jambu, Tumpat masih berada di bawah paras normal.
Menurut portal ebanjir.kelantan.gov.my setakat jam 9 pagi Selasa menunjukkan seramai 70 mangsa masih berada di dua buah pusat pemindahan sementera (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Limau Kasturi dan Dewan Majlis Daerah Gua Musang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!