Pusat Covid-19 berisiko rendah didakwa padat, tak patuh SOP
BALIK PULAU - Keadaan di pusat Covid-19 berisiko rendah di Kompleks Sukan Balik Pulau, di sini didakwa tidak selesa untuk diduduki susulan terlalu padat selain pesakit warga tempatan diletakkan bersama pesakit warga asing.
Perkara itu menyebabkan pesakit Covid-19 warga tempatan yang menjalani kuarantin di pusat tersebut semakin tertekan.
Mereka mendakwa terpaksa tinggal dalam keadaan bersesak bersama ratusan pesakit warga asing yang ditempatkan di situ.
Salah seorang pesakit yang enggan dikenali berkata, selain hidup bersesak, mereka terpaksa berkongsi 10 buah tandas bersama 300 pesakit di tempat yang sama.
Menurutnya, lebih memburukkan keadaan, pusat tersebut juga didakwa tidak mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) selain mereka juga terpaksa berebut mengambil makanan, mandi dan tempat solat dengan warga asing.
"Susunan katil pesakit juga terlalu rapat dan tiada langsung pematuhan SOP dalam kalangan pesakit. Saya tidak sanggup lagi berada dalam keadaan seperti ini. Keadaan sekarang, bukan boleh menyembuhkan saya malah boleh menjejaskan lagi tahap kesihatan saya.
“Saya tidak mampu nak hadapi keadaan di sini lagi. Semua warga asing, sesak dada. SOP pun tak ada dah di sini. Mandi, makan solat semua dengan warga asing. Sekarang yang masuk sudah ramai dekat 60 orang, warga asing lebih 300 orang. Saya tak perlu tempat macam ini untuk sihat,” katanya melalui satu sistem pesanan ringkas (SMS) pada Isnin.
Sementara itu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Datuk Muhamad Farid Saad berkata, pihaknya berharap agar semua warganegara yang dikenal pasti positif Covid-19 diasingkan daripada pesakit warga asing.
“Saya harap isu ini ditangani segera kerana ia menyebabkan pesakit warga tempatan tidak selesa berada di kompleks tersebut. Ini kerana, pesakit tempatan tidak puas hati kerana latar belakang cara hidup rakyat Malaysia dengan warga asing tidak sama.
"Sepatutnya, layanan terhadap pesakit tempatan perlu lebih baik berbanding warga asing. Pihak yang bertanggungjawab perlu melihat dan menangani perkara ini segera," katanya.
Dalam pada itu, perkara itu sudah sampai kepada pengetahuan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow selepas dimaklumkan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP).
Kon Yeow berkata, semua petugas JKNPP yang bertugas di pusat Covid-19 berisiko rendah itu sedang sedaya upaya untuk menyelesaikan sebarang isu yang berbangkit.
"Memandangkan kes melonjak dengan begitu mendadak, maka bilik gerakan sedang memantau keadaan pesakit setiap masa. Mengenai rungutan tentang kemudahan, saya rasa makluman itu kurang tepat.
"JKNPP memaklumkan, pelitup muka telah disediakan kepada semua yang berada di sana (pusat Covid-19 berisiko rendah) selain makanan dibekalkan tiga kali sehari. Bagaimanapun, setiap aduan yang diterima akan kita perhalusi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!