Nadma nafi buat kenyataan banjir besar di Pahang
KUALA LUMPUR - Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) pada Selasa menafikan dakwaan bahawa Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Aminuddin Hassim telah membuat kenyataan berkaitan banjir besar yang dijangka berlaku di negeri Pahang seperti yang sedang tular dalam media sosial.
Menurut kenyataannya hari ini, Ketua Komunikasi Korporat Nadma Nur Daliza Dohat memaklumkan, semua kenyataan yang berbentuk teknikal berkaitan situasi Monsun Timur Laut adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Meteorologi Malaysia dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Sebelum ini, tular mesej mengenai Pahang bakal mengalami banjir besar tahun ini akibat kenaikan dua sungai utama di negeri itu.
Menurut mesej palsu itu, empat daerah bakal terjejas iaitu Temerloh, Maran, Pekan dan Kuantan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!