Kerajaan Venezuela sedia runding dengan pembangkang
CARACAS - VENEZUELA. Menteri Luar Venezuela berkata kerajaan Presiden Nicolas Maduro bersedia berunding dengan pihak pembangkang dalam tempoh 15 hari.
"Sekiranya pihak pembangkang bersedia, kami terbuka untuk mengadakan rundingan di Caracas, Montevideo atau Teheran dalam tempoh 15 hari," kata Jorge Arreaza dalam temuramah bersama saluran televisyen, HispanTV, hari ini.
Namun, Arreaza percaya pihak pembangkang tidak berhasrat untuk berbincang, sebaliknya lebih berminat menggulingkan kuasa atas saranan Amerika Syarikat (AS).
Menurutnya lagi, Presiden AS Donald Trump dan beberapa pegawai kanan negara itu secara terbuka 'menghasut' rakyat Venezuela menentang Maduro dan kerajaannya.
Dalam pada itu, AS turut beberapa kali menyatakan 'pilihan ketenteraan' sedia dipertimbangkan bagi tujuan menggulingkan kerajaan Maduro.
Arreaza bagaimanapun menegaskan, negaranya dengan kekuatan anggota tentera profesional, termasuk tambahan pasukan separa tentera bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
Venezuela dilanda kemelut politik semenjak beberapa minggu lalu, apabila pihak pembangkang menuduh kepincangan kerajaan Presiden Maduro sebagai punca utama kejatuhan ekonomi, inflasi dan kekurangan bekalan asas termasuk makanan dan ubat-ubatan di negara berkenaan.
Rakyat yang bangkit menentang Maduro bertindak mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran di seluruh negara bagi mendesak peletakan jawatan presiden terbabit.- Press TV
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!