Polis cedera dilanggar kereta dipandu bekas ADUN

Soffian Santong
Soffian Santong
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang anggota polis cedera di tapak tangan kiri dan luka di dahi selepas dilanggar sebuah kereta dipandu seorang pesara di lampu isyarat di hadapan sebuah pasaraya Jalan Thean Teik, Air Itam di sini, malam Isnin.

Difahamkan, pemandu kereta tersebut merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang berkhidmat di negeri ini pada tahun 2008 hingga 2013 dan kini sedang memegang jawatan pegawai khas kepada salah seorang ahli Parlimen.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, anggota berpangkat Lans Koperal yang bertugas di Ibu pejabat Polis Daerah Timur Laut itu kini dilaporkan stabil dan dirawat di Zon Kuning, Hospital Pulau Pinang.

Menurutnya, dalam kejadian jam 11.30 malam itu, mangsa berusia 27 tahun yang sedang menunggang motosikal sendirian itu dilanggar kereta dipandu seorang lelaki berusia 55 tahun di bahagian belakang sebelah kanan lalu terjatuh.

"Siasatan awal mendapati, pesara yang memandu kereta jenis Toyota Camry datang dari arah pusat bandar menghala ke Balik Pulau. Ketika di lampu isyarat di hadapan sebuah pasaraya, tiba-tiba sebuah motosikal dari arah sama telah masuk di hadapan laluannya.

"Kejadian itu menyebabkan pemandu kereta terbabit terkejut lalu cuba mengelak namun terlanggar motosikal Yamaha LC135 yang ditunggang mangsa. Akibat daripada itu, mangsa mengalami kecederaan ringan manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Soffian berkata, kedua-dua pemandu kereta dan penunggang motosikal mempunyai lesen memandu yang sah.

"Kita masih menyiasat sama ada pemandu kereta tersebut berada dalam keadaan pengaruh alkohol ketika kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!