United mampu tewaskan City
PENGENDALI Manchester United Ole Gunnar Solskjaer menegaskan skuad kendaliannya itu mampu mencatatkan kemenangan pada aksi separuh akhir Piala Liga Inggeris (EFL) berdepan Manchester City di Old Trafford, awal pagi Khamis nanti.
Menurut Solskjaer, berdasarkan kepada prestasi semasa skuad The Red Devils itu, dia yakin merealisasikan kemenangan berkenaan biarpun tewas pada aksi sama kepada skuad The Citizens itu musim lalu.
“Kita gembira untuk berada sekali lagi pada aksi separuh akhir Piala Liga (EFL)dan sudah pasti ia adalah tiket untuk ke final.
“Musim lalu, kita tidak bernasib baik untuk melepasi peringkat separuh akhir, dan saya harap pemain dapat belajar daripada kegagalan itu,” katanya.
Untuk rekod, Manchester United, bukan sahaja gagal melepas peringakat separuh akhir untuk saingan Piala Liga, tetapi juga bagi saingan Liga Europa, Piala FA Inggeris, musim lalu.
Sementara itu Solskjaer berharap agar prestasi cemerlang United pada saingan EPl mampu berterusan pada saingan EFL pula setelah kali terakhir memenangi piala berkenaan pada musim 2017 lalu apabila menewaskan Southampton, 3-2.
“Berdasarkan prestasi kita pada saingan EPL, saya mengharapkan ia dapat diteruskan pada saingan EFL.
“Lagi pun, saingan EPL masih panjang dan kita masih perlu belajar banyak perkara dan kita lihat di manakah kedudukan kita pada Mac dan April kelak,” katanya.
Untuk rekod, United kini masih segar dengan kejayaan menewaskan Aston Villa 2-1 di Old Trafford, 2 Januari lalu yang sekali gus menyaksikan mereka kini berkongsi kedudukan selaku pendahulu EPL dengan Liverpool dengan 33 mata.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!