KKM buat penilaian risiko rentas daerah, negeri: Ismail Sabri

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan (KKM) sedang membuat penilaian risiko terhadap pergerakan merentas daerah atau negeri terutamanya di kawasan yang dikuat kuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) susulan wujud kluster baharu berkaitan aktiviti tersebut.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pada masa ini, kerajaan belum memutuskan untuk menyekat kembali atau melaksanakan syarat baharu yang lebih ketat berkaitan pergerakan merentas daerah atau negeri.

Beliau berkata, walaupun aktiviti tersebut dibenarkan ketika ini, rakyat perlu menjaga keselamatan diri dan individu lain seperti membuat ujian saringan Covid-19 secara sukarela sebelum ke kawasan lain.

“Sebelum ada keputusan eloklah kita sebagai individu untuk menjaga diri kita dan orang lain selain mengambil tindakan secara sukarela dengan membuat ujian saringan sebelum keluar sekiranya kita takut diri kita menjangkiti orang lain,” katanya pada sidang akhbar perkembangan PKP Pemulihan (PKPP) di sini pada Selasa.

Pada Isnin, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata perjalanan rentas sempadan daerah dan negeri serta terbabit dengan aktiviti sosial dilihat menyumbang kepada sekurang-kurangnya 14 kluster jangkitan Covid-19 sejak 7 Disember lepas hingga kini.

Mengulas cadangan ahli Parlimen yang mahu mesyuarat Kabinet mempertimbangkan sidang khas Parlimen untuk membincangkan wabak Covid-19, Ismail Sabri berkata, masih belum ada sebarang perbincangan mengenai sidang khas itu.

Beliau berkata, walaupun belum ada mesyuarat khas mengenai perkara itu, strategi di bawah KKM sedang dilaksana, di samping strategi yang tidak berkaitan dengan kesihatan turut dilakukan untuk mengurangkan penularan wabak Covid-19 dalam negara.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ingin menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir disaran berhubung dengan pusat kawalan bencana di daerah terjejas bagi memastikan kelancaran program masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Katanya, mereka akan memperoleh maklumat lengkap berhubung jumlah mangsa, lokasi yang terlibat serta jenis bantuan yang diperlukan dan kerajaan tidak menyekat aktiviti NGO dalam menghulurkan bantuan kepada mangsa memerlukan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!