Pelantikan jawatan perlu ikut perlembagaan: MCA
SHAH ALAM - Sebarang pelantikan jawatan dalam Barisan Nasional (BN) perlu dibuat berlandaskan perlembagaan BN.
Menurut MCA, pencalonan yang telah dibuat sepatutnya dibentangkan dan dipersetujui secara menyeluruh dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN.
“Pucuk pimpinan MCA terkilan dengan laporan media bahawa Tan Sri Annuar Musa telah dipecat sebagai Setiausaha Agung BN.
“Pimpinan Tertinggi MCA hanya mengetahui perkara ini melalui laporan media dan ianya tidak pernah dirundingkan sesama parti komponen dalam BN mahupun diputuskan oleh Dewan Tertinggi BN.
“Setakat ini, MCA masih tidak dapat mengesahkan kesahihan berita mengenai penyingkiran Tan Sri Annuar Musa sebagai Setiausaha Agung BN,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
ARTIKEL BERKAITAN: Annuar tidak dipecat, tapi diganti, kata Ahmad
Sementara itu, UMNO Bahagian Seputeh terkejut dengan keputusan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memecat Annuar sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN).
Ketuanya, Datuk Mustapa Kamal Mohd Yusoff berkata, keputusan tersebut dibuat tanpa perbincangan dengan rakan parti komponen BN.
Bagaimanapun, beliau berkata, keputusan telah dibuat dan selaku Ketua Bahagian mewakili UMNO Bahagian Seputeh mengucapkan terima kasih kepada Annuar kerana telah berkhidmat sebagai Setiausaha Agung BN sebelum ini.
“Teruslah memberi penerangan kepada penyatuan Melayu di tanah air ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Terdahulu, Ahmad Zahid mengumumkan Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional yang baharu menggantikan Annuar.Menurut portal berita tempatan, Ahmad Zahid mengumumkan keputusan tersebut dalam ucapan semasa perjumpaan khas dengan Ketua-ketua UMNO Bahagian seluruh negara di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Tambah MCA, mereka belum mendapat notis Mesyuarat Dewan Tertinggi BN berkaitan pemecatan jawatan mana-mana pihak seperti setiausaha dan bendahari agung BN.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!