AS kutuk Iran langgar perjanjian nuklear
WASHINGTON - Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengutuk rancangan Iran yang mahu meningkatkan proses pengayaan uranium dan menganggapnya sebagai satu bentuk ugutan nuklear.
Tindakan Iran itu juga dianggap oleh pakar-pakar sebagai cara untuk menekankan bakal Presiden AS, Joe Biden yang akan mengangkat sumpah jawatan bagi menggantikan Trump pada 20 Januari ini.
"Pengayaan uranium (meningkat) kepada 20 peratus di Fordow adalah jelas satu percubaan untuk meningkatkan kempen ugutan nuklear, satu percubaan yang akan berterusan gagal.
"Kami mempunyai keyakinan bahawa IAEA akan memantau dan melaporkan sebarang aktiviti nuklear baharu Iran," kata jurucakap Jabatan Negara AS.
IAEA ialah agensi Tenaga Atom Antarabangsa di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Agensi itu mengesahkan Iran meningkatkan proses pengayaan uranium di kemudahan bawah tanah Fordow dan ia merupakan satu pelanggaran terbesar dalam perjanjian nuklear pada tahun 2015 yang ditandatangani ketika Presiden Barack Obama menjadi Presiden AS.
AS di bawah pentadbiran Trump menarik diri daripada perjanjian tersebut.
Washington turut mengenakan sekatan ke atas Iran kerana menganggap negara itu melanggar perjanjian nuklear tersebut.
Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif berkata selepas pengumuman untuk meningkatkan pengayaan uranium itu, Teheran akan kembali mematuhi perjanjian tersebut jika semua negara berbuat demikian. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!