Indonesia mula program vaksinasi Covid-19 pada 14 Januari ini
JAKARTA – Indonesia akan memulakan program vaksinasi ke atas petugas perubatan dan kakitangan awam di kesemua 34 wilayah bermula 14 Januari ini.
Sehari sebelum program itu bermula, Presiden, Joko Widodo atau Jokowi dan anggota Kabinet beliau akan menjadi kumpulan terawal mendapatkan dos pertama vaksin Covid-19, Sinovac dihasilkan China.
Menteri Kesihatan, Budi Gunadi Sadikin pada Selasa berkata, sebanyak tiga kumpulan akan mendapat suntikan di bawah fasa pertama tersebut.
Mereka terdiri daripada pegawai berpangkat tinggi di Jakarta dan seluruh wilayah, anggota jawatankuasa petugas perubatan, doktor serta pemimpin agama.
Seperti dihadapi kebanyakan negara, Indonesia juga tidak terkecuali dengan kewujudan kumpulan antivaksin dan golongan yang mempertikaikan keberkesanan vaksin tersebut yang dihasilkan dalam tempoh singkat.
Firma kaji selidik, Saiful Mujani Research and Consulting (SMRC) menerusi tinjauan pada pertengahan bulan lalu mendapati 40 peratus daripada 1,202 responden belum membuat keputusan sama ada mahu mendapatkan suntikan vaksin atau tidak.
Sementara itu, kira-kira 37 peratus sedia mengikuti program vaksinasi tersebut manakala 17 peratus enggan menerima suntikan vaksin Covid-19 terbabit. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!