39 madrasah tahfiz terima sumbangan
SEREMBAN - Sebanyak 39 madrasah tahfiz di negeri ini menerima sumbangan berjumlah RM150,000 menerusi projek Madrasah Impianku anjuran Pasaraya Econsave Cash And Carry dengan kerjasama Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCace) dan Persatuan Intitusi Tahfiz Al-Quran (Pinta).
Pengurus Operasi Pasaraya Econsave Cash And Carry, Mas Imran Adam berkata, sumbangan itu diperoleh menerusi kutipan dana yang dilancarkan sejak sembilan bulan lalu.
"Sejak ia dilancarkan pada 20 Jun 2018, kita berjaya mengumpul RM830,000 yang disalurkan kepada madrasah berdaftar di bawah PINTA di seluruh negeri.
"Setiap madrasah menerima sumbangan wang tunai RM2,000 dan peralatan pencegahan kebakaran seperti alat pengesan asap dan kebocoran gas, lampu, penggera kecemasan dan lain-lain bertujuan mempertingkatkan ciri keselamatan serta risiko ancaman kebakaran," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Bantuan Projek Madrasah Impianku di Pasaraya Econsave Forest Heights, Senawang di sini, semalam.
Penyerahan sumbangan itu disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Sementara itu katanya, Negeri Sembilan adalah negeri ketiga menerima sumbangan berkenaan selepas pengagihan fasa pertama di Johor membabitkan 54 madrasah dan kedua di 30 madrasah di Melaka.
"Selepas Negeri Sembilan pengagihan akan diteruskan di Selangor yang kita jangkakan bulan depan.sebelum diteruskan ke negeri di utara secara berperingkat," katanya.
Dalam pada itu, Mas Imran berkata, Econsave dan MyCare turut merancang menjalankan projek bantuan perubatan di Gaza dengan mensasarkan kutipan berjumlah RM3 juta.
"Kita akan menyalurkan bantuan ubat-ubatan, pembedahan dan penghantaran doktor dari Malaysia ke negara berkenaan secara berperingkat untuk menjalankan pembedahan.
"Orang ramai boleh menghulurkan sumbangan melalui tabung yang dijangka diwujudkan di semua pasar raya Econsave di seluruh negara. Sumbangan juga boleh disalurkan menerusi MyCace di Maybank Islamic (551575004299), CIMB Islamic (8602135592) dan Bank Islam (12092010034904)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!