Berlari lama, tapi setempat

A
A
A

HARI ini hari keenam tahun 2021. Ambang tahun 2021 tidak disambut begitu gah seperti tahun-tahun yang lalu. Kalau hendak tahu trend masyarakat, jenguk sahaja ke media sosial. Pada tahun ini, masing-masing boleh dikatakan hanya membuat ucap selamat yang biasa-biasa sahaja. Tidak nampak mereka menyambut 2021 dengan mood gembira seperti tahun-tahun sebelumnya.

Barangkali 2020 yang menjanjikan kemuncak wawasan negara dan kejayaan kita dalam mengejar impian, tidak seperti yang dijangka pada tahun lalu angkara Covid-19. Oleh kerana bayang kemenangan memerangi pandemik ini masih belum nampak penghujungnya, maka mari kita teruskan 2021 dengan pendekatan berhati-hati.

Ada yang kata, seandainya kita boleh survive 2020, maknanya kita boleh terus hidup pada 2021 ini. Malah, ada yang mahukan agar 2020 berlalu seolah-olah ia tidak wujud dalam kalendar peribadi, asalkan 2021 membawa sesuatu lebih bermakna buat kita.

Tahun 2021 umpama tahun kita meniti hidup. Berjalan perlahan, selangkah demi selangkah, tidak pandang ke bawah kerana tak mahu terasa gayat. Tidak mahu juga pandang ke belakang kerana khuatir badan tak seimbang lalu kita jatuh terlentang. Lebih mustahak ialah pandang ke hadapan. Jika mahu berjalan dengan seimbang, ikutlah cara latihan model dengan menjunjung buku.

Setapak demi setapak

Secara simboliknya, kita harus berjalan setapak demi setapak dengan menjunjung ilmu. Maknanya, tidak boleh berjalan menonong tanpa memikirkan segala risiko di sekeliling. Malah, setiap langkah dan gerak perlu didahului dengan penelitian segala kilasan ikan di air untuk mengenalpasti jenis cabaran yang bakal tiba.

Tahun 2021 ini adalah tahun introspektif. Tak perlu melihat keluar atau sibuk dengan dunia di luar sana kerana masing-masing tidak peduli apa yang terjadi pada dunia, kerana dunia sendiri sedang berperang dengan virus itu sambil membalut luka ekonomi. Mana-mana negara sedang bertahan penuh mengah.

Justeru, lebih baik 2021 ini digunakan untuk menyibuk melihat ke dalam diri. Sibukkan menguruskan diri yang selama ini tidak diberi perhatian. Tidak perlu mengejar yang tak dapat sedangkan kekuatan dalaman yang dikendung boleh diasah dan digilap kembali. Kekuatan dalaman yang tajam akan mudah mencantas laluan esok yang lebih sukar.

Artikel Berkaitan:

Jalan yang baik mengharungi 2021 ini ialah melangkah sambil bermuhasabah. Renunglah ke dalam diri untuk melihat apakah kekuatan, apakah pula kelemahan diri. Kekuatan harus dikekalkan. Yang lemah harus dinyahkan keluar daripada minda dan semangat. Pendek kata dalam tempoh ini, kita kena peace with oneself iaitu berdamai dengan diri sendiri. Diri sendiri harus diikram.

Bila hampir satu dunia terpukul dengan Covid-19, bila sejumlah besar umat manusia yang hebat-hebat dan ke hadapan dalam mengaut harta dunia kini sama-sama lelah seperti kita, ia seolah-olah meletakkan kita semua ke kedudukan sebaris di garis permulaan, back to square one! Jadi yang tiada peluang sudah punyai peluang yang sama luas.

Sebab itulah pentingnya kita berdamai dengan diri sendiri. Anggaplah Covid-19 dan tahun 2020 telah memadam sejarah kelemahan lama. Yang ada hanyalah peluang untuk maju. Untuk maju, kenalah bergerak ke hadapan. Untuk berjaya, kenalah tinggalkan perangai yang bawa kegagalan ataupun perangai yang tak memungkinkan kita berjaya selama ini.

Jika selama ini kita belum berjaya, mustahil kita akan berjaya kali ini sekiranya kita menggunakan pendekatan yang sama. Tindakan yang sama akan memberikan hasil yang sama. Hanya dengan membuang tabiat lama sahaja kita boleh meningkatkan kemungkinan untuk berjaya.

Justeru, kita tidak boleh lagi berlari setempat. Meskipun lari setempat akan mencurahkan peluh di tubuh, kita akan berakhir dengan kepenatan meskipun masih berada di situ!

* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!