KOTA BHARU - Kes rogol termasuk membabitkan pasangan kekasih bawah umur di negeri ini pada tahun lalu merekodkan peningkatan sebanyak 46 peratus berbanding tahun sebelumnya. Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, rekod jenayah rogol tahun 2020 mencatatkan 108 kes iaitu meningkat sebanyak 34 kes daripada jumlah 74 kes pada tahun 2019. “Keadaan itu amat membimbangkan kerana membabitkan pasangan kekasih bawah umur, malahan terdapat juga kes melibatkan ahli keluarga sendiri yang melakukan perbuatan itu secara diam-diam. “Tidak terkecuali golongan yang mempunyai pendidikan agama tinggi, namun turut melakukan perbuatan terkutuk itu,” ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini pada Selasa. Mengulas lanjut, beliau berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati remaja yang terlibat dengan jenayah ini bukanlah dari kalangan yang mengalami desakan hidup dengan keluarga sebaliknya kebanyakan mereka menjalani hidup bersama ahli keluarga secara sederhana. “Rekod yang ada bagi kes yang dilaporkan kepada polis dan juga yang tidak buat membuat laporan atas alasan malu dan sebagainya. “Itu tidak boleh dan kesedaran perlu ditingkatkan dalam kalangan masyarakat bagi mengelak berlaku kejadian rogol terhadap kanak-kanak yang masih bawah umur,” katanya. Shafien menegaskan, semua pihak termasuk masyarakat dan ketua-ketua komuniti mahupun institusi agama supaya bersama-sama mencari kaedah terbaik yang diambil sebelum jenayah rogol berlaku. Dalam perkembangan berkaitan, statistik jenayah indeks bagi negeri Kelantan bagi tempoh Januari hingga Disember tahun 2020 direkodkan sebanyak 2,534 berbanding tahun sebelumnya 3,546 kes. Katanya, bagi jenayah Komersial pula sebanyak 866 kertas siasatan dibuka membabitkan kerugian RM17 juta pada tahun 2020 berbanding tahun sebelumnya 797 dengan kerugian RM4 juta. “Tahun lalu polis menahan 424 individu berbanding tahun sebelumnya hanya 328 yang ditahan untuk siasatan bagi pelbagai kesalahan,” katanya.