Menteri KASA kecewa, harap wanita buang sampah mohon maaf
KOTA BHARU - Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man kecewa dengan tindakan individu yang ditularkan melemparkan bungkusan plastik menerusi kenderaan ke dalam sungai di Kelantan pada Selasa.
Tuan Ibrahim berkata, dalam usaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) melancarkan kempen menjaga sungai, masih terdapat segelintir masyarakat yang tidak mempedulikan kebersihan sumber air.
“Saya ingin melahirkan rasa kecewa di atas sikap yang ditunjukkan.
“Pelaku seharusnya insaf dan diharap dapat memohon maaf atas sikap buruk yang ditunjukkan itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
ARTIKEL BERKAITAN: Tindakan wanita buang sampah dalam sungai dikecam
Terdahulu tular di media sosial tindakan seorang wanita yang dipercayai membuang bungkusan plastik di sebuah jambatan di mendapat kecaman netizen yang menanggap perbuatan tersebut sebagai 'tiada sivik'.
Video berdurasi 20 saat itu mula tular apabila dikongsi pelayar laman sosial Facebook dan mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai.
Rata-rata netizen menganggap tindakan tersebut sebagai tidak bermoral dan si pelaku tidak sepatutnya bertindak demikian dalam kesesakan lalu lintas.
Ada juga yang berpendapat, tindakan seperti itulah yang menyebabkan berlakunya pencemaran sungai sekaligus dikaitkan dengan bencana banjir yang sering kali membawa bersama sampah sarap dan plastik.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu juga mengucapkan terima kasih kepada individu yang membuat rakaman.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!