'Ini kejadian banjir paling buruk'
TEMERLOH - Penduduk Kampung Batu Kapor menyifatkan keadaan banjir yang berlaku sejak Isnin lalu adalah bencana alam yang terburuk pernah dialami mereka.
Majoriti rumah penduduk di kampung terbabit ditenggelami air sehingga ada yang hanya tinggal bumbung sahaja.
Bagi seorang warga emas, Zubir Othman,70 berkata, keadaan banjir pada kali ini disifatkan yang terbesar pernah berlaku berbanding bah yang melanda pada 2007 dan 2014.
Menurutnya, keadaan air yang naik terlalu pantas sehingga menyebabkan rumahnya turut terjejas dalam kejadian banjir kali ini.
"Saya tak sangka jadi begini (banjir) kerana air naik terlalu cepat, tapi saya bersyukur kerana tidak babitkan sebarang nyawa atau kecederaan," katanya ketika ditemui Sinar Harian di pusat penempatan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Semantan pada Selasa
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Batu Kapor, Mat Rasul Yurit memaklumkan sehingga kini seramai 539 mangsa melibatkan 160 keluarga ditempatkan di dua buah PPS iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Kapor dan SMK Seri Semantan.
"Kami memang berharap keadaan ini cepat pulih dan kali ini paling terburuk buat penduduk kampung yang sebelum ini memang sudah lali dengan kejadian banjir sebelum ini.
"Malah kami juga amat mengalu-alukan sebarang bentuk bantuan bagi meringankan beban mangsa yang kehilangan dan kerosakan harta benda akibat banjir kali ini," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!