Jambatan Muallim-Hulu Bernam selamat digunakan

Rakaman kesan retakan di jambatan yang menghubungkan daerah Muallim dengan Hulu Bernam, Selangor sepertimana tular sejak Ahad lepas.
Rakaman kesan retakan di jambatan yang menghubungkan daerah Muallim dengan Hulu Bernam, Selangor sepertimana tular sejak Ahad lepas.
A
A
A

TANJUNG MALIM - Jambatan yang menghubungkan daerah Muallim dengan Hulu Bernam, Selangor selamat digunakan meskipun tular sejak Ahad lepas terdapat kesan retakan di laluan berkenaan.

Pegawai Daerah Muallim, Shamsul Ridzuan Idris berkata, pemeriksaan dijalankan Jabatan Kerja Raya (JKR) ke kawasan itu mendapati, ia kesan retakan lama pada permukaan dan tidak mendatangkan bahaya kepada pengguna.

"Sebaik menerima aduan keretakan itu, Jurutera Daerah telah membuat pemeriksaan dan beliau melaporkan kepada saya bahawa jambatan itu selamat digunakan.

"Retakan yang ditunjukkan itu adalah kesan lama dan bukannya berlaku disebabkan pergerakan air atau tanah akibat hujan lebat," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Shamsul Ridzuan
Shamsul Ridzuan

Beliau berkata, pihaknya memahami kebimbangan penduduk di situ memandangkan jambatan berkenaan menjadi laluan utama menghubungkan Perak dan Selangor.

"Tidak ada apa-apa yang perlu dirisaukan, keadaan dan struktur jambatan itu telah diperiksa dan disahkan selamat," katanya.

Terdahulu, tular satu video berdurasi 26 saat yang dirakam seorang pengguna menunjukkan dua kesan retakan di sepanjang laluan jambatan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Dalam video berkenaan turut dinyatakan kebimbangan pengguna terbabit yang khuatir jambatan itu akan runtuh terutama pada musim hujan dan banjir.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!