Enam ditahan kes dera budak OKU hingga mati
GOMBAK - Enam individu termasuk seorang wanita warga Indonesia ditahan kerana disyaki mendera seorang kanak-kanak perempuan kurang upaya (OKU) berusia lima tahun yang meninggal dunia pada 30 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner, Arifai Tarawe berkata, kesemua individu yang berusia di antara 24 hingga 55 tahun itu ditahan pada Jumaat lalu.
"Mangsa ditemui tidak sedarkan diri di ruang tamu sebuah rumah di sini, mangsa kemudian dibawa ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia," katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Rawang di sini pada Rabu.
Arifai berkata, siasatan awal mendapati mangsa tidak boleh berjalan dengan sempurna dan tidak mengawal untuk membuang air kecil dan besar.
"Ayah dan ibu mangsa telah berpisah pada 2017 dan mangsa dijaga oleh nenek saudaranya," katanya.
Katanya, hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah usus dalaman mangsa pecah.
"Susulan daripada laporan itu, kita menahan enam individu tersebut termasuk nenek saudara mangsa.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!