Mesyuarat Kabinet pertama tahun 2021 lancar: Takiyuddin
SHAH ALAM - Mesyuarat Kabinet pertama tahun 2021 berjalan lancar, tiada kepanasan mahupun kesipuan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Parlimen dan Undang-Undang, Datuk Takiyuddin Hassan
Menurut beliau, demi rakyat dan watan, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai nakhoda berjaya mengemudi bahtera negara dengan penuh ihsan, prihatin dan bertanggungjawab.
"Majulah negaraku," katanya dalam ciapan di Twitter pagi Rabu.
Pada Selasa, pertemuan ketua-ketua UMNO di PWTC bersama Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memperhalusi usul menolak kerjasama bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Dalam pertemuan tersebut, 143 daripada 191 UMNO bahagian bersetuju dengan usul menolak bekerjasama dengan parti itu pada Pilihan Raya Umum akan datang.
Majlis Tertinggi UMNO bakal bermesyuarat pada Rabu untuk ketetapan berhubung kerjasama mereka dengan Bersatu.
Jika UMNO menarik diri dari Perikatan Nasional (PN), dijangka kerajaan yang terbentuk kini bakal tumbang.
Untuk rekod BN adalah blok terbesar dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) BN 41 termasuk 38 kerusi UMNO diikuti Bersatu (31) dan Pas (18).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!