Agong ziarah mangsa banjir di PPS Wisma Belia
KUANTAN - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Rabu berkenan mencemar duli menziarahi mangsa banjir di pusat penempatan sementara (PPS) di Wisma Belia, Indera Mahkota, di sini.
Dalam ucapannya, Seri Paduka Baginda menitahkan semua Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) bertindak dengan lebih proaktif bagi memberi bantuan segera kepada penduduk terjejas banjir di luar bandar dan pedalaman.
Seri Paduka Baginda menzahirkan kegusaran mengenai keselamatan penduduk di luar bandar dan pedalaman jika berlaku perkara tidak diingini seperti terperangkap dalam banjir dan tidak mendapat bantuan dengan segera seperti yang dilaporkan dalam berita dan media sosial.
“Saya harap pihak yang mempunyai aset helikopter harus berperanan lebih aktif dengan meninjau kawasan (pedalaman) agar dapat menghubungi mana-mana mangsa yang berada di lokasi (sukar dihubungi),” titah Seri Paduka Baginda.
Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail; Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Dr Sallehuddin Ishak; Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abd Rahim Muda; Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah; Ketua Polis Pahang, Datuk Sri Ab Jalil Hassan dan Pengarah Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Pahang, Shaharudin Ab Hamid.
Terdahulu pada Selasa, Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, diiringi Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr Ismail Abdul Muttalib turut menziarahi 361 penghuni PPS di Sekolah Menengah Kebangsaan Maran.
Al-Sultan Abdullah turut menasihatkan semua penduduk terjejas supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa bagi mengelakkan penularan baharu pandemik Covid-19.
PPS Wisma Belia menempatkan 180 orang mangsa banjir daripada 43 keluarga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!