Bomba selamatkan 10 mangsa banjir terperangkap
MERSING - Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Endau menyelamatkan 10 mangsa banjir yang terperangkap di Kampung Sungai Padang, Endau dekat sini pada Rabu.
Ketua Operasinya, Penolong Penguasa Bomba Mohd Alias Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.18 pagi sebelum lapan anggota dikejarkan ke tempat kejadian.
Menurutnya, mereka dibantu satu jentera Light Fire Rescue Team (LFRT) dan satu utiliti Kembara selain bot fiber milik orang awam.
"Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian, terdapat 10 mangsa terperangkap dalam rumah akibat rumah dinaiki air.
"PKO bertindak membantu mengeluarkan semua mangsa ke tempat yang lebih selamat dengan menggunakan satu utiliti Kembara BBP Endau dengan dibantu bot orang awam," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, mangsa yang terdiri daripada empat lelaki dewasa dan enam wanita dewasa dihantar ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Endau.
"Operasi tamat pada jam 12.20 tengah hari," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!