Kapal bersauh tanpa kebenaran ditahan di perairan Pengerang

Kapal tangki tanpa kebenaran bersauh ditahan Maritim Malaysia.
Kapal tangki tanpa kebenaran bersauh ditahan Maritim Malaysia.
A
A
A

KOTA TINGGI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tanjung Sedili (ZMTS) telah menahan sebuah kapal tangki di kedudukan lebih kurang 1.8 batu nautika tenggara Tanjung Ayam di perairan Pengerang, di sini, kira-kira jam 1.30 petang semalam.

Pengarah ZMTS, Kepten Maritim Mohd Zulfadli Nayan berkata, kapal tersebut ditahan setelah pemeriksaan mendapati ia gagal mengemukakan kebenaran bersauh dari Pengarah Laut Malaysia.

''Sebuah kapal tangki tanpa muatan ditahan kapal ronda Maritim Malaysia dalam Op Khas Pagar Laut 1/2019 yang bermula pada 26 Januari lalu sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

"Kapal tangki berdaftar di Port Kelang itu dikendalikan sembilan kru termasuk nakhoda (Master) berumur lingkungan 26 hingga 66 tahun dan kesemua mereka adalah warganegara Indonesia," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Zulfadli berkata, kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952Seksyen 491B(l) iaitu bersauh tanpa kebenaran.

"Jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

"Seorang kru kapal tangki tersebut dibawa ke pejabat ZMTS untuk tindakan selanjutnya'' katanya.

Beliau berkata, sebelum itu, dua buah kapal tangki telah ditahan pada 1 dan 4 Feb yang lalu di sekitar perairan Pengerang.

Artikel Berkaitan:

"Sehingga kini, empat buah kapal ditahan atas kesalahan yang sama sepanjang Op Khas Pagar Laut 1/2019 di bawah seliaan ZMTS.

"Maritim Malaysia sentiasa memandang serius ke atas pematuhan undang-undang dan akan sentiasa mengambil tindakan sewajarnya demi memastikan kesejahteraan perairan negara," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!