'Tolak kerjasama dengan Bersatu, MB Johor perlu ditukar'

Osman
Osman
A
A
A

JOHOR BAHRU - Usul 147 bahagian UMNO yang menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memberi bayangan penolakan kerjasama kedua-dua parti sekali gus akan menyebabkan keadaan politik di Johor tidak stabil memungkinkan menteri besar perlu ditukar.

Bekas Menteri Besar Johor yang juga Ketua Bahagian Bersatu Ayer Hitam, Datuk Osman Sapian berkata, beliau tidak terperanjat dengan usul penolakan tersebut namun mengingatkan sekiranya UMNO memutuskan kerjasama dengan Bersatu, maka tiada lagi kerajaan negeri pimpinan Perikatan Nasional (PN) di Johor.

"Saya tidak terperanjat dengan apa yang dimaklumkan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) dan UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berhubung usul penolakan 147 bahagian UMNO ini pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: UMNO perlu terima realiti

"Awal-awal lagi semua tahu, kerjasama dalam PN di peringkat Pusat hanya berlandaskan kerjasama ahli Parlimen. Jika terjadi penolakan ini, maka yang terkesan dahulu adalah Johor kerana tidak akan ada lagi kerajaan negeri PN, menteri besar perlu ditukar," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Dalam tempoh kurang dua tahun selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei 2018, Menteri Besar Johor telah bertukar sebanyak tiga kali iaitu Datuk Osman Sapian, Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Datuk Hasni Mohammad.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor memiliki 56 kerusi dengan PN 29 kerusi, mempunyai kelebihan satu kerusi bebanding pembangkang iaitu Pakatan Harapan (PH) sebanyak 27 kerusi.

Pecahan 29 kerusi PN iaitu 14 dimiliki UMNO, Bersatu (12), dua MIC dan satu Pas, manakala 27 kerusi PH iaitu 14 kerusi melalui DAP, sembilan milik Parti Amanah Negara (Amanah) dan empat PKR.

Dalam pada itu, Osman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas berkata, Bersatu tidak akan mendiamkan diri dan yakin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu akan menilai semula kerjasama ini.

Artikel Berkaitan:

"Buat masa sekarang, segalanya bergantung pada Muhyiddin. Sekiranya penolakan kerjasama berlaku, Bersatu juga akan bertindak.

"Tetapi tidak sesuai dibuat PRU15 ketika masih berdepan Covid-19 dan musim monsun pada masa kini. Tujuan matlamat perlulah berpaksi kepada rakyat bukan matlamat lain termasuk kepentingan peribadi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!