Perketat SOP diri, vaksin mujarab cegah Covid-19 di Kelantan
KOTA BHARU - Ketika mana kes Covid-19 di Kelantan mengalami peningkatan, hanya disiplin dengan memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) pada diri sendiri menjadi vaksin paling mujarab membendung penularan jangkitan.
Exko Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, penularan wabak Covid-19 dalam komuniti di negeri ini boleh tersebar dengan cepat jika masyarakat masih mengambil mudah amalan SOP pada diri sendiri.
Menurutnya, di Kelantan terdapat juga jangkitan positif Covid-19 yang dikaitkan dengan pesakit Influenza (ILI) dan juga Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) yang senang merebak seandainya tidak mementingkan SOP.
“Sehubungan itu, saya mahu tegaskan supaya masyarakat negeri ini menjadikan pemakaian pelitup muka dan sentiasa menggunakan cecair pembasmi kuman sebagai amalan wajib setiap masa.
“Selain usaha dilakukan kerajaan termasuk Jabatan Kesihatan dalam membendung penularan Covid-19, paling penting masyarakat itu sendiri memainkan peranan untuk mengawal penularan dan jangkitan wabak,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya pada Rabu.
Dalam perkembangan terkini Covid-19 di Kelantan yang mencatatkan 12 kluster, Dr Izani buat sekian kalinya menggesa masyarakat untuk keluar rumah bagi urusan penting sahaja.
“Kenapa kes di Kelantan bertambah? Selain dari kes kluster-kluster sedia ada, yang sebenarnya wabak Covid-19 sudah berada dalam masyarakat kita.
“Dengan kata lain musuh berada di luar (Covid-19 berada di mana-mana). Bila begini setiap kali keluar pakai pelitup muka dan sentiasa cuci tangan.
“Apabila Covid-19 sudah berada di dalam masyarakat, SOP lah satu-satunya yang kita kena pertingkatkan selain menjaga imuniti diri biar gagah untuk lawan jangkitan Covid-19 dan kuman lain,” katanya.
Dalam perkembangan sama, jumlah kumulatif Covid-19 di Kelantan sehingga Selasa adalah sebanyak 976 dan sembilan kematian.
Dr Izani juga menaruh harapan tinggi agar jumlah Covid-19 di Kelantan akan menurun dengan kerjasama setiap lapisan masyarakat yang mengutamakan SOP.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!